Berita Malaysiakini

Kalah pun PAS tetap rasa nikmat 'manis'

Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRK PD | Seperti selalu kegagalan dalam pilihan raya tidak pernah menggoyangkan semangat juang pemimpin PAS.

Menyambut khabar yang datang dari Port Dickson Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata PAS tetap mendapat nikmat kerana berada di medan perjuangan dan pilihan raya.

"Kita memenangi kemanisan iman dan jihad lebih awal sebelum kita atau lawan kita memenangi perlawanan di kertas undi selepas itu," katanya melalui hantaran di media sosial malam tadi.

Pada PRK Port Dickson yang diadakan semalam Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mempertahankan kerusi Pakatan Harapan di parlimen berkenaan dengan majoriti yang lebih besar berbanding PRU ke-14 lalu.

Anwar memperoleh 31,016 undi manakala pencabar terdekatnya, Mohd Nazari Mokhtar dari PAS meraih 7,456 undi.

Jumlah peratusan keluar mengundi pada pilihan raya kecil itu ialah 58.3 peratus dan lebih rendah berbanding PRU ke-14 lalu.

Sejak awal pemerhati berpendapat sukar untuk pembangkang menyekat kemaraan Anwar namun PAS dengan yakin meletakkan calon dengan sasaran mahu menang.

Malah akhbar rasmi parti itu lebih awal meramalkan Anwar akan "tersungkur" di Port Dickson.

Kata Nik Abduh penyokong PAS perlu terus berteguh dengan perjuangan parti berkenaan dan pada masa sama bersedia untuk meraikan kemenangan yang sudah dijanjikan secara pasti.

"Justeru teruslah berteguh dan bersiap siagalah untuk perjuangan ini yang menjanjikan kemenangan yang pasti daripada-Nya.

"Bersama Islam adalah bersama kemenangan. Tiada syak!" kata anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu.

Nik Abduh juga sempat mengucapkan tahniah kepada Mohd Nazari kkerana memperolehi jumlah undi yang lebih baik berbanding PRU ke14 lalu.