Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hakimah wanita pertama dilantik TKP Jakim
Diterbitkan:  Oct 14, 2018 4:14 PM
Dikemaskini: 8:30 AM

Pengarah Bahagian Kemajuan Islam di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hakimah Mohd Yusoff dilantik sebagai timbalan ketua pengarah dasar yang baru bagi badan itu berkuat kuasa esok 15 Okt.

Unit Komunikasi Korporat Jakim dalam kenyataannya berkata pelantikan Hakimah itu dibuat menggantikan Datuk Mohamad Nordin Ibrahim yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Jakim bermula 17 Mei lalu.

“Beliau (Hakimah) adalah pegawai hal ehwal Islam wanita pertama yang dilantik memegang jawatan tersebut,” kata kenyataan berkenaan.

Hakimah memiliki ijazah sarjana muda syariah dari Universiti Malaya pada 1990 dan sarjana dalam bidang pembangunan sumber manusia dari Universiti Putra Malaysia pada 2001.

Beliau memulakan perkidmatan sebagai penjawat awam sebagai penolong pengarah di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri pada 1992.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai ketua penolong pengarah di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) pada 2008 hingga 2009 sebelum dilantik menjadi pengarah bahagian hab halal Jakim selama lima tahun antara 2011 hingga 2016.

“Kecemerlangan beliau (Hakimah) amat terserlah semasa menerajui bahagian hab halal sehingga pensijilan Halal Malaysia diterima di peringkat dunia.

“Pada 2016, beliau dinaikkan pangkat ke gred lebih tinggi menjadi pengarah Bahagian Kemajuan Islam Jakim.

"Atas sumbangan dan pencapaian cemerlang beliau dalam perkhidmatan, kerajaan memperakukan pelantikan beliau sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim yang baru,” kata kenyataan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS