Paling Popular
Terkini
story images
story images

“Apa yang berlaku di Malaysia sangat penting kepada kami… tetapi, bukanlah perubahan utama strategik – ia berkaitan rancangan yang sedang kami laksanakan ketika ini di Singapura,” kata Menteri Hal Ehwal Luar Negara Dr Vivian Balakrishnan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tentang apakah peluang dan cabaran yang wujud selepas 9 Mei, hari gabungan Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14, yang sekali gus menamatkan pemerintahan Barisan Nasional selama lebih 60 tahun di Malaysia.

“Saya tidaklah mengaitkan semuanya dengan 9 Mei,” kata Dr Balakrishnan kepada wartawan Malaysia yang menyertai Program Lawatan Wartawan Malaysia ke-13 semasa sesi soal-jawab di Singapura, baru-baru ini.

Pakatan Harapan dianggotai empat parti – Bersatu, DAP, PKR dan AMANAH.

“Perkara paling penting ketika ini ialah perkembangan dari segi hubungan dua hala antara Amerika Syarikat (AS) dan China... Ia terus berlaku di hadapan mata kami.

Perbezaan, titik persetujuan, peluang

“AS dan Eropah adalah sumber Pelaburan Langsung Asing paling besar bagi kami… Jumlah dagangannya tiga kali lebih besar daripada Keluaran Dalam Negara Kasar kami.

"Sebarang perang perdagangan, malah ketegangan perniagaan sekali pun, mengundang kebimbangan yang cukup besar bagi kami.

"Pada kami, semua itu tidak berubah pada 9 Mei,” katanya.

Pada sesi soal-jawab itu, Dr Balakrishnan juga ditanya pendapatnya tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan kenyataan bakal perdana menteri Malaysia itu baru-baru ini bahawa hubungan Singapura-Malaysia "akan lebih baik" pada tahun-tahun akan datang.

“Ya, kami gembira apabila beliau membayangkan bahawa beliau berpendapat hubungan dua hala yang baik adalah sesuatu yang perlu dan positif bagi kami,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Balakrishnan berkata, dalam mana-mana hubungan yang sudah terjalin sejak sekian lama, akan timbul perbezaan, titik persetujuan dan peluang.

“Secara peribadi, saya tidak melihat isu tertentu sebagai sesuatu yang boleh merosakkan hubungan strategik yang lebih besar.

"Maka, adalah sesuatu yang menggembirakan apabila para pemimpin berkata mereka mahukan hubungan yang baik, tetapi saya melihatnya lebih jauh daripada seseorang individu yang menjadi pemimpin,” kata beliau.

- Bernama

Lihat Komen
ADS