BERITA Malaysiakini

Pusingan pertama: Azmin dahului Rafizi di Selangor

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PEMILIHAN PKR | Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendahului Rafizi Ramli dalam saingan merebut jawatan timbalan presiden PKR selepas anggota parti itu mengundi dalam pusingan pertama pemilihan di Selangor.

Menurut keputusan tidak rasmi, Azmin menerima 9,337 undi kepada 8,563 undi Rafizi selepas sembilan bahagian di Selangor pergi ke pemilihan hari ini.

Bahagian-bahagian yang mengundi hari ini ialah Sabah Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Serdang, Kelana Jaya, Subang, Kapar, Kota Raja dan Sepang.

Walaupun Azmin bekas pengerusi PKR Selangor namun beliau berhadapan cabaran sengit di negerinya itu.

Rafizi berjaya menang pemilihan di cabang Hulu Selangor, Kelana Jaya dan Kapar.

Sementara itu, cabang seperti Sabak Bernam dan Serdang menyokong kuat Azmin yang menyebabkan beliau sedikit selesa di hadapan dengan kelebihan 747 undi.

Susulan keputusan tidak rasmi ini, jumlah undi yang diperolehi Azmin keseluruhannya adalah sebanyak 28,972 undi dan Rafizi pula meraih 28,225 undi.

Sebelum ini, Azmin cuma mendahului Rafizi dengan satu undi sahaja. Rafizi juga pernah berada di hadapan saingan dengan 27 undi pada Selasa lalu selepas keputusan pemilihan di Kelantan.

Bagi pertandingan naib presiden PKR, yang menawarkan empat pemenang bagi jawatan itu, Nurul Izzah Anwar mendahului di Selangor (8,063 undi), diikuti Xavier Jayakumar (6,763 undi), Zuraida Kamaruddin (6,699 undi) dan S Kesavan (5,321 undi).

Berada di belakang empat teratas di Selangor pada pusingan pertama ini ialah Tian Chua (5,283), Shamsul Iskandar (5,070), William Leong (4,835), Datuk Johari Abdul (4,381), K Vasantha (3,391), Balasubramaniam (1,605), Michael Tamil (1,596) dan Azan Ismail (1,186).

Bagi jumlah keseluruhan, empat calon teratas ialah Nurul Izzah (31,599 undi), Zuraida (24,650), Xavier Jayakumar (19,926) dan Tian Chua (19,250).

Mengekori di belakang mereka dari segi undi keseluruhan ialah Shamsul Iskandar (18,725), Johari Abdul (15,843), Leong (15,700), Kesavan (14,695), Vasantha (8,898), Azan (5,719), Balasubramaniam (4,330) dan Michael (3,639).

Bagi saingan ketua pemuda AMK, sekutu Azmin, Afif Bahardin (1,876 undi) dan Hilman Idham (2,318) yang bertanding timbalan ketua AMK mendahului perlumbaan pusingan pertama di Selangor ini.

Afif dahului Akmal

Saingan pasukan Afif ialah Akmal Nasir (1,725 undi) dan Najwan Halimi (465) manakala penentang Hilman ialah Raymond Ahuar (906) dan Naqiuddin Nazrin (445).

Afif mendahului saingan keseluruhan setakat ini dengan 6,607 undi berbanding Akmal yang mendapat 6,421 undi dan Najwan dengan 1,581 undi.

Sementara itu, Hilman mendahului dengan 8,300 undi berbanding 3,680 undian kepada Ahuar dan Naqiuddin yang memperolehi 1,559 undi.

Dalam perlumbaan ketua Wanita PKR, sekutu Azmin, Haniza Talha dan Daroyah Alwi juga mendapat undi paling banyak pada pusingan pertama pemilihan di Selangor ini.

Haniza mendapat 3,696 undi berbanding Fuziah Salleh dengan 2,746 undi manakala Daroyah mendapat 3,757 undi berbanding Rodziah Ismail yang mendapat 2,570 undi pada pusingan pemilihan kali ini.

Untuk jumlah keseluruhan, Haniza kini mendahului dengan 11,072 undi berbanding 8,702 undi yang diterima Fuziah sementara Daroyah mendapat 11,120 undi berbanding Rodziah yang memperolehi 7,750 undi.

Pengundian di Selangor akan berlangsung selama tiga hujung minggu kerana jumlah pemilih yang besar di negeri itu, yang terdiri daripada sekitar satu pertiga daripada jumlah anggota PKR.

Enam lagi cabang di Selangor akan menjalankan pemilihan pada 21 Oktober akan datang ini pada pusingan kedua pemilihan manakala enam lagi cabang akan mengundi pada pusingan ketiga yang dijadulkan 28 Oktober hadapan.

Keputusan bagi pusingan pertama pemilihan di Selangor masih belum diselesaikan, sementara menunggu pengesahan "undi-undi yang meragukan".

Nama tiada dalam senarai daftar pemilih

Keraguan ini merujuk kepada pengundi yang namanya tidak tertera dalam senarai daftar pemilih PKR.

Undi mereka dikira secara berasingan dan mesti melalui proses pengesahan untuk menentukan jika mereka benar-benar anggota PKR yang layak mengundi.

Sehingga kini, negeri-negeri lain yang telah menjalankan pemilihan ialah Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan. Keputusan untuk tiga negeri pertama dalam senarai juga telah dimuktamadkan.

Dengan kesimpulan pusingan pertama pengundian di Selangor, masih terdapat 62 peratus suara yang masih belum membuat pilihan sehingga 10 November ini.

Ini termasuklah pemilihan di Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak.