Kerajaan hari ini mengisytiharkan seluruh bangunan Parlimen termasuk sudut merokok dan tempat makan, sebelum ini sebagai kawasan larangan merokok.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mereka yang ingin merokok boleh berbuat demikian di luar bangunan Parlimen.

"Kita maksudkan secara serius selepas keluarkan peraturan dan mahu mereka yang berada di Parlimen mengikut peraturan, khususnya di tempat makan.

"Sebelum ini, jika merokok di sudut merokok pun, orang luar boleh hidu jika berada berdekatan. Jadi kita ambil tindakan untuk tutup sudut rokok itu.

“Bagi perokok, mereka perlu merokok di luar bangunan Parlimen kerana di dalam bangunan tiada lagi kawasan untuk merokok,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bulan Oktober Kementerian Kesihatan 2018, di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata kementerian akan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini bermula 1 Januari 2019.

Katanya, ia adalah inisiatif kementerian bagi memperluaskan lagi kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.