Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sokongan buat Anwar umpama buih ombak, kata Pemuda PAS
Diterbitkan:  Oct 15, 2018 4:40 PM
Dikemaskini: 8:46 AM

PRK PD | Lagi penegasan PAS bahawa mereka tidak kecewa atau goyah walaupun gagal menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kembali ke Dewan Rakyat.

Kali ini penjelasan panjang lebar itu diberikan oleh Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman.

Kata Syahir berdasarkan peratusan keluar mengundi yang rendah berbanding pilihan raya umum (PRU) lalu, jumlah undi yang diterima Anwar sebenarnya jatuh 14 peratus, daripada 36,225 kepada 31,016.

Pada masa sama katanya undi yang diterima calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar, meningkat 14 peratus iaitu 7,456 berbanding 6,594 pada PRU ke-14 lalu.

Untuk rekod jumlah peratusan pengundi pada PRK Port Dickson pada 13 Okt lalu ialah 58.2 peratus manakala PRU ke-14 ialah 82.8 peratus.

Menurut Syahir kemenangan Anwar pada Sabtu lalu disumbangkan secara tidak langsung oleh sejumlah besar pengundi yang tidak menyertai PRK berkenaan - yang dianggapnya sebagai bukan penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Berbeza dengan PAS yang mendapat sedikit lonjakan daripada pengundi ‘bukan PAS’ berbanding PRU lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ada kemungkinan kalah

PAS menjadi parti pembangkang tunggal bertanding mencabar Anwar pada saat-saat akhir menjelang PRK Port Dickson selepas Umno mengambil pendirian untuk memboikotnya.

Selain Anwar dan Mohd Nazari, PRK itu menyaksikan lima calon bebas lain termasuk bekas naib presiden Umno Tan Sri Isa Samad.

Anwar memperoleh 31,016 undi manakala Mohd Nazari mengumpul 7,456 undi. Ia diikuti Isa (4,230 undi).

Kata Syahir jika peratusan mengundi dalam PRK Port Dickson tidak terjejas dengan ‘kehilangan’ sejumlah pengundi yang agak signifikan pada PRU ke-14 lalu, ada kemungkinan nasib Anwar akan terjejas.

"Dengan anggaran majoriti sekitar 19,000 dan 57 peratus undi popular, malah berkemungkinan untuk (Anwar) kalah di beberapa pusat pengundian majoriti Melayu seperti di Linggi dan Bagan Pinang," katanya.

Dia yang juga menjadi pengarah strategi Pemuda PAS Pusat menambah HARAPAN mencatatkan jurang majoriti lebih besar pada PRK berbanding PRU lalu disebabkan sebahagian besar 18,515 pengundi BN tidak keluar pada 13 Okt lalu.

"Justeru hakikat yang perlu diakui oleh HARAPAN ialah betapa mandat besar yang memihak kepada Anwar dalam PRK Port Dickson ini umpama bebuih ombak yang kelihatan banyak, tetapi tidak kukuh dan bersifat sementara.

"Rakyat dan anak muda pastinya bijak menilai kegagalan HARAPAN menunaikan janji manifesto, diikuti pula dengan cadangan cukai baru bagi menampung kelemahan SST (cukai jualan dan perkhidmatan), serta pelbagai insiden yang memburukkan imej parti pemerintah, seperti pergaduhan sepanjang pemilihan PKR, perebutan pangkat di kalangan pemimpin AMANAH, lagak samseng wakil rakyat DAP, dan aksi ‘berani’ seorang menteri BERSATU berkongsi gambar tanpa baju di dalam media sosial," katanya.

Syahir yang diuar-uarkan PAS sebagai ikon anak muda parti itu juga mengingatkan pemimpin HARAPAN - yang didakwanya dibuai mimpi Putrajaya - perlu sedar bahawa sokongan rakyat sentiasa berubah-ubah.

Berkias, Syahir menjelaskan sokongan tersebut seperti "air laut di pantai Port Dickson yang ada pasang dan surutnya".

"Terserah kepada pemimpin dan rakyat untuk memerhati dan menilai," katanya.

Lihat Komen
ADS