Bentang laporan CEP: K'jaan putuskan lepas teliti cadangannya
DEWAN RAKYAT | Kerajaan akan memutuskan sama ada untuk membentangkan laporan Majlis Penasihat Negara (CEP) kepada Kabinet hanya selepas mengambil kira dapatannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.
Dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Lim Kit Siang (DAP-Iskandar Puteri) semalam, Liew berkata kerajaan masih mengkaji cadangan yang dikemukakan CEP dalam laporannya.
Katanya lagi, cadangan sejumlah anggota parlimen agar laporan itu didedahkan hanya akan diputuskan selepas ia diteliti.
"Apa yang lebih penting adalah kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan sentiasa mengambil kira setiap perkara dan pandangan yang dinyatakan dalam laporan itu," kata menteri yang bertanggungjawab dalam soal undang-undang itu.
Beliau juga menegaskan CEP hanyalah sebuah badan penasihat yang tidak memegang kuasa, maka terpulang kepada Kabinet atau Parlimen untuk memutuskan sama ada akan mengguna pakai dapatannya.
CEP ditubuhkan pada 12 Mei 2018 untuk membantu kerajaan HARAPAN yang baru dibentuk, dan dibubarkan pada 19 Ogos lalu.
Dipengerusikan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, ia dianggotai bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Aziz, bekas Presiden Petronas Tan Sri Hassan Merican, pakar ekonomi Prof Dr Jomo Kwame Sundaram dan hartawan Tan Sri Robert Kuok.

