Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abddullah memohon agar Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberikan peruntukan yang mencukupi untuk menampung kos operasi pegawai dan duta Malaysia di luar negara.

Saifuddin dipetik Berita Harian sebagai berkata kepada Dewan Rakyat semalam bahawa Wisma Putra kekurangan RM133 juta dan beliau telah meminta dana daripada Lim sebelum ini.

"Walaupun sudah dimaklumkan kerajaan tidak cukup peruntukan, kami minta juga kalau boleh RM50 juta dan akhirnya Menteri Kewangan beri juga RM40 juta,” katanya dipetik sebagai berkata.

Saifuddin bagaimanapun menyifatkan RM40 juta berkenaan masih tidak cukup terutamanya bagi pegawai yang berkhidmat di luar negara dan tinggal di negara berbeza.

“Kita ada duta yang dihantar untuk mengurus lebih satu negara. Ada duta yang menjadi duta di negara A tetapi duduk di negara B. Dia hendak terbang ke negara B, Wisma Putra minta tangguh sebab tidak ada bajet.

“Punyalah azab dan daif. Kalau hendak diikutkan, dia boleh memandu kereta tetapi kena jaga ‘standard’, takkan naik kereta sampai lapan jam. Mereka pegawai diplomatik kita, takkan daif sangat (kena memandu)," katanya.

Saifuddin juga berkongsi beberapa pegawai di luar negara yang berdepan masalah tempat tinggal.

“Ada pegawai kita oleh kerana kadar siling sewa rendah, dia terpaksa duduk jauh daripada kedutaan. Ini menimbulkan masalah, iaitu menaikkan kos pengangkutan.

“Ada yang lari ke kawasan yang tidak sesuai untuk seorang pegawai diplomatik. Malah kita ada satu kes, kuarters kita di Paris rosak, bumbungnya bocor, mengganggu rumah sebelah dan pemiliknya saman kita.

“Oleh itu, saya minta Menteri Kewangan dengarlah keluhan Menteri Luar ini. Berilah bajet kepada kami,” katanya.