GLOBAL | Presiden Yaman Abd Rabbu Mansour Hadi bertindak memecat perdana menteri negara itu Ahmed bin Dagher atas alasan "cuai" dalam menangani krisis ekonomi negara itu.

Menurut Reuters semalam yang memetik kenyataan yang disiarkan agensi berita Yaman SABA, Ahmed juga akan disiasat atas dakwaan kesalahannya itu.

"(Pemecatan) ini ekoran kecuaian kerajaan mutakhir ini berkenaan ekonomi dan perkhidmatan pentadbiran," kata kenyataan itu seperti dipetik, yang turut mengumumkan pelantikan Maeen Abdulmalik Saeed sebagai perdana menteri baru.

Menurut laporan itu, Yaman merupakan negara termiskin di Timur Tengah dengan tiga suku daripada warganya, atau 22 juta, memerlukan bantuan dan 8.4 juta lagi diancam kebuluran.

Ia ekoran perang saudara yang tercetus sejak 2015 antara pemberontak Houthi dan kerajaan negara itu yang disokong negara Teluk lain yang diketuai Arab Saudi.

Mata wang Yaman, Riyal, pula menyusut lebih separuh daripada nilainya berbanding dolar AS sejak perang bermula.

Houthi kini mengawal bahagian utara negara itu termasuk ibu kota Sanaa manakala Kabinet Hadi beroperasi dari Arab Saudi yang menyerang negara itu untuk mengembalikan kuasa kepada Hadi, menurut laporan itu lagi.