Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
MP antara lapan dikompaun kerana merokok di Parlimen

Hari pertama keseluruhan bangunan Parlimen dijadikan kawasan larangan merokok semalam menyaksikan lapan kompaun dikeluarkan terhadap mereka yang tidak mengendahkan larangan itu.

Antara mereka, menurut Ketua Sektor Kawalan Tembakau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Ariana Hasan termasuk seorang anggota parlimen. Kesalahan itu tertakluk di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Beliau juga memaklumkan lebih 20 anggota KKM dihantar khusus untuk memantau tiga lokasi yang sering menjadi tumpuan perokok.

"Ya, selepas kerajaan isytiharkan parlimen kawasan merokok. Kami pantau seluruh kawasan parlimen.

“Kami hantar 23 hingga 25 anggota," katanya kepada pemberita di bangunan parlimen, hari ini.

Antara tumpuan adalah sekitar kafeteria blok utama, tempat rehat ahli parlimen Dewan Rakyat dan ruang telaga udara sebagai kawasan larangan merokok, mulai semalam.

Dr Ariana turut memaklumkan KKM akan terus memantau sepanjang parlimen bersidang hingga 20 Disember.

Mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, mereka yang merokok di tempat larangan boleh dikenakan kompaun tidak lebih RM500 dan jika gagal menjelaskannya boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua bulan atau kedua-duanya sekali.

Semalam Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mereka yang ingin merokok atau menggunakan vape boleh berbuat demikian di luar bangunan Parlimen.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata kementerian akan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini bermula 1 Januari 2019.

Katanya, ia adalah inisiatif kementerian bagi memperluaskan lagi kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.

Lihat Komen
ADS