Kerajaan rancang haram beg plastik tak boleh kitar semula
PARLIMEN | Malaysia tidak akan menjadi tong sampah kepada negara maju, tegas Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin.
"Import bahan buangan plastik telah dibekukan, kilang kitar semula haram tidak lagi akan beroperasi... Pengendali kilang-kilang haram akan dihukum di bawah undang-undang Malaysia.
"Kerajaan komited memastikan Malaysia tidak akan menjadi tong sampah plastik bagi negara maju," kata Yeo ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Negara seperti New Zealand, Australia dan UK sebelum ini menjadikan Malaysia sebagai tempat untuk mengeksport bahan buangan plastik mereka selepas China tidak lagi mengimport bahan plastik untuk kitar semula.
Peningkatan dalam import plastik telah menyebabkan lebih banyak kiang kitar semula haram dibuka.
Yeo berkata, jawatankuasa bersama kabinet yang diketuai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ditubuhkan bagi menentukan langkah seterusnya dalam mengelakkan negara lain menghantar barang plastik ke Malaysia.
Sementara itu, Yeo juga berkata kerajaan merancang untuk mengharamkan bahan plastik yang tidak boleh dikitar semula.
Kementerian yang diterajui Yeo sebelum ini menyasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sifar penggunaan plastik menjelasng 2030.

