Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RUU baru dibentang, rosakkan jalan boleh didenda RM100k

Kerajaan membentangkan rang undang-undang baru untuk menghukum pihak yang merosakkan jalan-jalan awam.

Undang-undang itu membolehkan pelaku kesalahan itu didenda sebanyak RM100,000 – sepuluh kali ganda daripada jumlah denda sekarang.

RUU bagi meminda Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 itu memasukkan klausa baru bagi memberikan kuasa kepada pihak berkuasa tempatan mengarahkan pihak yang merosakkan jalan membaikinya sendiri atau menanggung kos pemulihan.

Selain jalan, pihak yang merosakkan siar kaki, laluan berbumbung dan hartanah milik pihak berkuasa tempatan juga akan dihukum.

Penalti juga akan dikenakan sama ada kerosakan itu dilakukan dengan niat atau tidak.

Sementara itu, Bernama melaporkan kontraktor yang didapati gagal membaiki dengan sempurna sebarang kerja pengorekan jalan awam berdepan hukuman denda sehingga RM100,000 jika pindaan ke atas Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 diluluskan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata cadangan menaikkan kadar denda itu dibuat selepas mendapati denda sedia ada sebanyak RM1,000 dilihat tidak berkesan untuk membuat pencegahan kepada pesalah.

“Terdapat banyak aduan berkenaan korekan, kerosakan dan kualiti pembaikan jalan. Antara punca tersebut ialah kerja-kerja pengorekan jalan oleh individu atau syarikat utiliti yang melaksanakan kerja tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2018) untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain jalan awam, Zuraida berkata denda itu juga akan terpakai bagi kesalahan merosakkan siar kaki, jalan kaki lima atau harta kepunyaan PBT atau yang di sepanjangnya orang awam mempunyai hak untuk lalu.

Katanya pindaan ke atas Seksyen 39 akta berkenaan juga melibatkan cadangan menaikkan denda minimum RM500 sedia ada kepada RM50,000 bagi kesalahan mengambil tempat turap tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada PBT atau tanpa kuasa lain yang sah di sisi undang-undang.

Pindaan itu juga mencadangkan supaya kuasa diberi kepada PBT untuk mengarahkan seseorang membetulkan semula apa-apa perubahan yang dilakukannya kepada turap dan tapak jalan awam termasuk ke atas pagar dan tiang-tiangnya, selain melaksanakan pembaikan bagi kerosakan yang dilakukan pada mana-mana jalan, siar kaki atau jalan kaki lima.

“Jika orang itu tidak berbuat demikian, PBT sendiri boleh mengarahkan supaya kerja itu dilakukan dan menuntut kos dan belanjanya daripada orang berkenaan,” katanya.

Menurut Zuraida, pindaan juga akan menjadikan satu keperluan kepada mana-mana individu untuk mengemukakan laporan geoteknikal yang ditentu sah oleh pemeriksa bertauliah bagi apa-apa binaan bangunan yang melibatkan cerun dengan kecerunan 25 darjah dan ketinggian 10 meter.

 

Lihat Komen
ADS