Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa Mahkamah Rayuan mempunyai kuasa untuk mendengar rayuan pegawai pengurus pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Amino Agus Suyub berhubung hukuman penjara tiga bulan yang dikenakan ke atasnya atas kesalahan menghina mahkamah.

Lima panel penghakiman yang diketuai Hakim Tan Sri Richard Malanjmum, membenarkan Amino menangguhkan hukuman penjara tiga bulan yang dikenakan ke atasnya sementara menunggu keputusan rayuannya.

Menurut Malanjum, Amino perlu diberikan hak untuk dua peringkat perbicaraan.

Hakim Mahkamah Rayuan semalam berkata rayuan Amino bukan di bawah bidang kuasa Mahkamah Rayuan dan ia harus didengarkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Di Mahkamah Rayuan, G Rajasingam yang merupakan peguam Amino memaklumkan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Rajasingam berkata dia akan memohon alasan bertulis daripada Mahkamah Pilihan Raya sebelum memfailkan rayuan.

Sementara itu, Peguam Mohammad Haniff Khatri Abdullah yang mewakili bekas calon PKR Rantau, Dr S Streram, hari ini memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya menghormati hak Amino.

Pada minggu lalu, Amino didapati bersalah menghina Mahkamah Pilihan Raya kerana menghantar mesej teks kepada penolong pegawai pengurus SPR, Daing Muhamad Rahimi dengan cuba mengajarnya menjawab soalan dalam petisyen pilihan raya bagi kerusi Rantau.

Calon PKR, Dr S Streram memfailkan petisyen pilihan raya itu selepas dia tidak dibenarkan menyerahkan borang pencalonannya pada 28 April lalu yang seterusnya memberi kemenangan tanpa bertanding kepada calon BN Datuk Seri Mohamad Hasan.

[Baca berita asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kerusi Parlimen Rantau dibenar menangguhkan hukuman penjara tiga bulan yang dijatuhkan terhadapnya kerana menghina mahkamah selepas didapati mengajar seorang saksi memberi keterangan dalam petisyen pilihan raya.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum membenarkan Amino Agos Suyub menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya terhadap hukuman itu.

Hakim tertinggi itu kemudian mengembalikan kes tersebut ke Mahkamah Rayuan bagi mendengar rayuan Amino Agos selepas memutuskan mahkamah berkenaan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes menghina mahkamah sekalipun kes berasal daripada Mahkamah Pilihan Raya.

Malanjum berkata Hakim Mahkamah Pilihan Raya Datuk Azimah Omar yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi menggunakan kuasanya menurut Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan mengenai penghinaan.

Beliau berkata Amino Agos akan dinafikan rayuan dua peringkat jika kesnya tidak didengar oleh Mahkamah Rayuan.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah yang mewakili pempetisyen Dr S. Streram memberitahu mahkamah yang beliau tidak membantah penangguhan pelaksanaan hukuman bersandarkan hak Amino Agos untuk menggunakan semua saluran yang ada.

Hakim lain yang turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah serta Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ramly Ali.

Peguam G Rajasingam yang mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Amino Agos serta Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Anggota Dewan Undangan Negeri Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan Mahkamah Rayuan boleh mendengar kes itu sekalipun ia berasal daripada Mahkamah Pilihan Raya.

Mohd Hafarizam berkata kes penghinaan bukan isu petisyen pilihan raya, justeru Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan tersebut.

Bagaimanapun Mohamed Haniff Khatri berkata isu menghina mahkamah itu berasal daripada petisyen pilihan raya dan menurut statut, rayuan petisyen pilihan raya akan terus didengari Mahkamah Persekutuan.

Semalam, Mahkamah Rayuan menangguhkan prosiding pendengaran permohonan menangguh pelaksanaan hukuman dan meminta Rajasingam memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu memandangkan kes berasal daripada Mahkamah Pilihan Raya.

Sementara itu, Rajasingam turut memaklumkan kepada Mahkamah Rayuan hari ini akan keputusan mahkamah tertinggi tersebut dan Mahkamah Rayuan menetapkan esok bagi Rajasingam menarik balik permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman memandangkan penangguhan telah dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Rabu lepas, Azimah mendapati Amino Agos bersalah kerana mengajar seorang saksi dalam petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Dr Streram, calon Pakatan Harapan, dan menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap Amino Agos.

Dr Streram memfailkan petisyen pilihan raya memohon membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad sebagai pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, satu daripada empat kerusi DUN bawah Parlimen Rembau.

Mohamad menang kerusi itu tanpa bertanding selepas Amino Agos enggan membenarkan Dr Streram memasuki pusat pencalonan kerana beliau tidak mempunyai pas sah yang dikeluarkan oleh SPR.

Amino Agos kemudian memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya serta notis penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya.

Dalam pembelaannya, Amino Agos menafikan dia berniat untuk mengajar saksi, Daing Muhamad Rahimi, iaitu penolong pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14, bagaimana untuk memberi keterangan di mahkamah.

Dia mendakwa mesej yang dihantarnya kepada saksi itu menerusi WhatsApp adalah sebagai luahan perasaan sahaja.

Di luar mahkamah, Rajasingam memberitahu pemberita, pengurusan kes rayuan itu akan ditetapkan pada hari lain yang belum diputuskan oleh mahkamah.