Zahid: Umno tak buat sebarang langkah ke atas PKR
Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan dakwaan pihaknya mengadakan rundingan dengan PKR.
"Kita (Umno) tak buat sebarang langkah tetapi kita terus perkukuhkan barisan pembangkang dalam gagasan pembangkang untuk membawa isu-isu rakyat. Kita amat yakin bahawa isu-isu ini adalah perkara yang menjadi keresahan rakyat," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.
Terdahulu, Zahid mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kemenangan dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.
"Ia adalah pendirian kita sesiapa yang menang dalam kerusi PRK, kita ucap tahniah dan semoga beliau dapat menyumbang usaha demokrasi," kata anggota parlimen Bagan Datuk itu.
Sabtu lalu, Anwar menang PRK Port Dickson yang tidak ditandingi calon Umno dengan majoriti besar.
Anggota Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Abdul Aziz sebelum ini mempertikaikan bahawa Umno tidak harus bertanding dalam PRK berkenaan sebagai langkah berbaik dengan PKR.
Ia menimbulkan spekulasi bahawa Umno sedang cuba bekerjasama dengan PKR yang kini merupakan parti terbesar dalam Dewan Rakyat.
Ketika ini, PKR mempunyai 51 anggota parlimen berbanding BN, 49.
Pakatan Harapan sebelum ini menafikan kemungkinan bekerjasama dengan Umno.

