Otai Reformis mengadu pada S'gor isu taman kucing jadi pejabat Azmin
Kumpulan Otai Reformis akan menulis surat kepada kerajaan Selangor bagi mendesak menyelesaikan isu taman rekreasi kucing yang kini menjadi pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.
Anggota jawatankuasa Otai Reformis, Abdul Razak Ismail berkata perkara itu perlu diberi perhatian bagi memastikan tiada pihak yang dinafikan hak mereka.
“Sebelum ini, tempat tersebut dijanjikan akan dibangunkan taman rekreasi kucing tetapi sebaliknya pula berlaku.
"Minggu lepas kami dimaklumkan papan tanda baru telah dinaikkan dengan tertera bangunan itu kini telah dijadikan pusat khidmat masyarakat.
“Saya merasakan perkara ini tidak adil dan akan menulis surat kepada Ng Sze Han, exco jawatankuasa tetap kerajaan tempatan, pengangkutan awam dan pembangunan kampung baru,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan pusat khidmat DUN Bukit Antarabangsa, hari ini.
Impian seorang aktivis penyelamat kucing terbiar, Jamil Ismail untuk memiliki sebuah taman rekreasi bagi menempatkan kucing terbiar di Ampang Jaya musnah apabila bangunan yang diusahakan sejak tiga tahun lalu dipercayai ‘dirampas’.
Jamil atau lebih dikenali sebagai Jamil Kucing mendakwa, taman rekreasi kucing itu kini telah menjadi Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Antarabangsa.
“Saya terkilan dan sedih dengan keputusan tersebut. Sepatutnya bantahan penduduk diusulkan kepada MPAJ sebelum pembinaan taman rekreasi, namun bantahan dibangkitkan oleh mereka selepas projek itu siap sepenuhnya,” katanya.
DUN itu dimenangi oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali.
Kesal dengan apa yang berlaku, Jamil juga mahu perkara itu mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Kata Jamil ini kerana beliau secara peribadi mengenali anggota Parlimen Pandan itu dan Wan Azizah maklum dengan kerja-kerja kebajikan yang dilakukannya.
“Saya minta timbalan perdana menteri dapat bantu saya, Datuk Seri Dr Wan Azizah kenal saya dan tahu apa yang saya buat selama ini.
“Malah, saya pun ada video yang menyatakan beliau hormati apa yang saya buat.
"Dan sekarang beliau dah ada kuasa. Kalau boleh (bantulah). Kalau tidak pun tolong carikan tempat baru serta keluarkan peruntukan, saya buat sendiri (rumah kucing),” katanya dengan nada kesal.
Bagaimanapun, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew yang turut hadir pada sidang media itu berkata pihaknya akan berusaha untuk menpertemukan Jamil dengan pihak yang bertanggungjawab bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Ini salah faham, saya tak fikir ia salah guna kuasa sebab (arwah) Shuhaimie yang juga setiausaha politik yang tolong Jamil buat perkara ini.
“Tapi tidak mengapa saya akan usahakan perbincangan bersama antara Datuk Seri Mohamed Azmin, MPAJ dengan Jamil Kucing dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu taman rekreasi kucing ini,” katanya yang turut mendakwa dirinya merupakan sahabat baik kepada Azmin serta peminat kucing.

