Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR akan menyiasat dakwaan Rafizi Ramli yang mengatakan budaya politik wang dalam parti itu semakin membimbangkan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ditemui di lobi parlimen hari ini presiden PKR itu juga membayangkan beliau mengetahui mengenai isu berkenaan selepas ditanya media hari ini.

“Inilah jawapan saya: kita akan siasat," katanya.

Kenyataan Rafizi yang juga naib presiden PKR itu dibuat ketika parti terbabit mengadakan pemilihan melibatkan semua anggotanya di seluruh negara.

Pemilihan itu berlangsung sehingga akhir Nov ini.

Untuk rekod Rafizi sedang bersaing rapat dengan Datuk Seri Azmin Ali bagi jawatan timbalan presiden. Azmin ialah penyandang jawatan tersebut.

Dr Wan Azizah akan melepaskan jawatannya secara rasmi tidak lama lagi apabila tidak mempertahankan kedudukan sebagai presiden.

Bendung amalan tak sihat

Tempat itu akan diisi suami beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menjadi satu-satunya calon untuk jawatan presiden pada pemilihan kali ini.

Ditanya sama ada Dr Wan Azizah sedar mengenai dakwaan Rafizi, beliau menjawab ringkas: "Sekarang you're telling me (kamu beritahu saya), I'm aware-lah (saya tahulah),” katanya.

Menurut Dr Wan Azizah JPP juga akan memanggil Rafizi bagi mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung isu berkenaan.

Semalam Rafizi yang juga calon timbalan presiden PKR mendakwa budaya politik wang dilihat semakin membimbangkan pada musim pemilihan parti itu.

Rafizi berkata anggota PKR perlu menolak calon yang mengamalkan budaya politik wang dan sebaliknya memilih calon yang adil, berkhidmat dan berjuang untuk rakyat di akar umbi.

Rafizi berkata antara sebab utama beliau mengambil keputusan bertanding jawatan itu kerana untuk membendung budaya politik wang daripada terus merebak dalam PKR.

Sementara itu Anwar ketika ditemui media berkata pihaknya akan membincangkan isu berkenaan dalam mesyuarat Biro Politik PKR malam ini.

“Kita akan bincang malam ni, kita ada (mesyuarat) biro politik malam ni,” katanya.

Lihat Komen
ADS