Polis: Kematian suspek pengganas dari Perancis tiada unsur sabotaj
Tiada unsur sabotaj dalam kemalangan van polis yang menyebabkan kematian lelaki warga Perancis yang disyaki terlibat dalam ideologi Salafi Jihadi.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata van dinaiki Mickael Alain Louvier bersama beberapa anggota polis itu hilang kawalan apabila tayarnya meletup di Km428.3 Lebuhraya Utara Selatan dekat Bukit Beruntung pada Jumaat lalu.
“Kemalangan itu mengakibatkan anggota polis serta suspek terpelanting dan suspek yang dirawat (akibat cedera) tidak dapat diselamatkan.
“Tohmahan mengatakan ada unsur sabotaj adalah tidak benar,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di antara Bank Muamalat Berhad dan Yayasan Pengaman Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
Bank Muamalat diwakili ketua pegawai eksekutifnya Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid manakala yayasan terbabit diwakili timbalan pengerusinya Tan Sri Hussin Ismail.
Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata suspek dibawa menaiki van itu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.
“Polis perlukan dia untuk menyiasat dan mendapatkan bukti, pengeledahan dan lain-lain,” katanya sambil menambah pihaknya mempunyai bukti kukuh suspek terlibat aktiviti penyebaran ideologi Salafi Jihadi dan Daesh.
Pada 24 Sept lalu suspek merupakan seorang daripada lapan lelaki yang ditahan dalam operasi polis di Perlis.
Mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam tindakan memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan persekutuan bagi menyebarkan ideologi itu.
Ditanya sama ada polis mengesan penyebaran ideologi Salafi Jihadi dan Daesh selain di Perlis, Mohamad Fuzi berkata siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung perkara itu.
“Penyebaran ideologi ini memang kita haramkan dan tidak akan bertolak ansur kerana ia akan menjadi ancaman,” katanya.
- Bernama

