Seorang rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Dhaka, Bangladesh kerana didakwa menyeludup masuk jongkong emas seberat tujuh kilogram (kg) dengan nilai pasaran 35 juta Taka (kira-kira RM1.7 juta) ke negara terbabit.
Memetik beberapa laporan portal media Bangladesh, lelaki itu dikenal pasti sebagai Chan Gee Keong, 47 ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka pada jam 10 malam waktu tempatan, semalam.
Chan dipercayai berasal dari Putrajaya.
Timbalan Pesuruhjaya Kastam, Othello Chowdhury, dilaporkan berkata pihaknya memeriksa individu itu selepas dia melalui laluan hijau di lapangan terbang berkenaan, sebaik tiba menggunakan khidmat syarikat penerbangan Malindo Air.
Katanya, hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan tujuh jongkong emas, masing-masing seberat satu kg, dibalut dengan kertas karbon yang disembunyikan dalam jaket suspek.
“Gee Keong dijangka akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kastam dan Kuasa Khas Bangladesh,” katanya.
