Bekas presiden MCA dan menteri kanan BN Tan Sri Dr Chua Soi Lek akan melancarkan naskhah autobiografinya pada Ahad ini.

Berdasarkan jemputan yang diedar kepada media, pelancaran buku Like Me or Hate Me: Rising from the Political Ashes itu akan diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Dr Chua ialah ahli politik dari Johor yang mempunyai profil tinggi dalam kerajaan selepas dilantik menjadi menteri oleh perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau menjadi menteri kesihatan antara 2004 dan 2008.

Bagaimanapun kerjayanya dibayangi skandal seks.

Rakaman video dalam sebuah bilik hotel yang tersebar pada ketika itu mendorong Dr Chua melepaskan semua jawatannya, sama ada dalam parti atau kerajaan.

Antaranya termasuk naib presiden MCA dan kerusi parlimen Labis yang diwakilinya.

Pada 2009 Dr Chua dipecat oleh Jawatankuasa Disiplin MCA berhubung skandal seks tersebut.

Namun beliau kembali dalam dunia politik apabila terpilih menjadi presiden MCA pada 2010.

Beliau memegang jawatan tersebut sehingga 2013 apabila MCA mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum ke-13.

Mengambil tanggungjawab atas prestasi hambar itu Dr Chua enggan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti yang berlangsung pada tahun berkenaan.

[Baca berita penuh]