Akhbar S'pura pertahan laporan 1MDB, sangkal Tony Pua
Akhbar Singapura The Straits Times (ST) mempertahankan laporannya mengenai 1MDB serta menyangkal kritikan yang dilontarkan Tony Pua.
ST dalam kenyataannya tadi malam menolak teguran Tony Pua yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Pua mendakwa ST silap fakta dalam dua laporan yang terbit pada 7 dan 14 Oktober lalu.
Anggota parlimen Damansara itu berkata "ST berterusan salah lapor" dalam artikel berjudul "Looming $70m 1MDB interest payment is key test for Malaysia" (7 Oktober) dan "Malaysia's 1MDB Debt to Abu Dhabi may have ballooned" (14 Oktober).
Beliau menolak dakwaan ST pada artikel bertarikh 7 Oktober yang mengatakan pentadbiran Pakatan Harapan telah memulakan 'duluan yang berbahaya' (dangerous precedent) dengan membayar tanggungan kewangan 1MDB yang diwarisi daripada BN menyebut kerajaan tidak ada pilihan "tetapi memenuhi komitmen terhadap bon itu."
Mengulas hal ini, ST menyatakan wartawan akhbar tersebut bagi rantau ini Leslie Lopez, yang menulis kedua-dua laporan berkenaan, menjelaskan pembayaran bagi bulan Oktober merupakan bayaran di bawah perjanjian penyelesaian 1MDB yang sebelum ini ditandatangani kerajaan dengan syarikat Abu Dhabi itu untuk mengelakkan proses timbang tara yang berpotensi merosakkannnya.
"Perjanjian penyelesaian tersebut, mewajibkan Malaysia membuat pembayaran berjumlah AS$ 1.2 bilion dalam dua bayaran ansuran yang terpisah pada separuh kedua 2017, juga meminta pembayaran tunggakan (milestone) antara April 2017 dan Oktober 2022.
Sumber dipercayai, rapat dengan pihak berkuasa
"Lopez berkata jadual pembayaran yang dilihat oleh The Straits Times menunjukkan bahawa caj terakhir sebanyak AS$ 52.41 juta jatuh pada 7 Mei, dua hari sebelum pilihan raya umum bersejarah negara.
"Dengan itu, pembayaran pada 15 Oktober itu mewakili kewajipan pertama kerajaan baru di bawah perjanjian penyelesaian berkenaan, " kata kenyataan itu.
Berhubung artikel yang terbit pada 14 Oktober, Pua tidak bersetuju bacaan ST mengenai pemfailan di Bursa Saham London, yang mana International Petroleum Investment Company (IPIC) mengumumkan untuk memindahkan liabiliti dan komitmen berkaitan 1MDB kepada syarikat induknya, Mubadala Development Co PJSC (Mubadala).
Lopez berkata para peguam kerajaan Malaysia tidak jelas mengenai perjanjian penyelesaian antara 1MDB dan Abu Dhabi kerana mereka tidak dapat menerbitkan dokumentasi yang berkaitan dengan perjanjian itu.
"Peguam London yang dilantik oleh kerajaan Malaysia telah diarahkan untuk melihat kemungkinan nota yang disebut dalam pengumuman IPIC boleh terikat kepada 1MDB," kata Lopez.
Editor ST Warren Fernandez juga dipetik dalam kenyataan itu, mengatakan harian berkenaan mempertahankan loran wartawannya "kerana ia berdasarkan dokumen dan maklumat dari sumber yang rapat dengan pihak berkuasa dan boleh dipercayai".

