Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN l Kerajaan akan memasang mesin pengimbas x-ray di laluan orang kenamaan (VIP) di lapangan terbang dalam usaha menangani kegiatan haram, termasuk penyeludupan wang.

Selain itu, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen turut akan ditempatkan di luar bilik menunggu khas berkenaan.

"Pengimbas x-ray kastam akan diletakkan di laluan VIP untuk membanteras isu berkenaan penyeludupan wang.

"Memang kita sedar itu masalah yang boleh disalahgunakan melalui laluan VIP.

"Kita akan perketatkan peraturan," kata Loke ketika menjawab soalan tambahan Pang Hok Liong (HARAPAN DAP-Labis) yang membangkitkan usaha kerajaan untuk menangani tindakan penyeludupan wang sebelum ini, yang menjangkau RM49 juta.

Pang memberi contoh dakwaan operasi yang melibatkan bekas pegawai risikan yang membawa masuk jutaan wang tunai menjelang pilihan raya 9 Mei lalu.

Kementerian Pengangkutan, pada 4 September lalu, mengarahkan MAHB supaya mengetatkan pemeriksaan di laluan orang kenamaan di semua lapangan terbang.

Arahan itu susulan laporan pendedahan media bahawa pesawat atau jet persendirian yang ada kaitan dengan pemimpin atau orang kenamaan dipercayai digunakan untuk menyeludup masuk wang tunai dalam jumlah besar ke negara ini.

Ketika menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) mengenai kes-kes penyalahgunaan laluan VIP yang telah diambil tindakan, Loke berkata tiada tindakan diambil sejak Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan kerana tiada kes penyalahgunaan dilakukan setakat ini.

"Dulu saya tak pastilah berapa kali ada diambil tindakan...memang ada sedikit kelonggaran dari segi tindakan, tetapi kita akan mengetatkan lagi supaya tidak ada penyalahgunaan.

"Jadi saya minta pihak-pihak kenamaan termasuk anggota Parlimen memberi kerjasama kepada pihak berkuasa di lapangan terbang, kalau ada pemeriksaan itu janganlah komplen kerana itu prosedur dan kita arahkan tidak beri pengecualian, sesiapa sahaja yang guna bilik menunggu khas itu juga akan dibuat pemeriksaan seperti yang terkandung dalam prosedur," katanya.

Menurut Loke juga, mesin pengimbas X-Ray akan ditempatkan di lapangan terbang secara berperingkat mulai awal tahun depan dan penumpang tidak lagi perlu lagi melalui pemeriksaan fizikal.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon turut mengajukan soalan kepada menteri tersebut, iaitu sama ada penggunaan pemeriksaan haiwan seperti anjing akan turut dilaksanakan di lapangan terbang antarabangsa.

"Ini soalan khas daripada Timbalan Yang Dipertua, saya memerlukan jawapan bertulis untuk diserahkan kepada Timbalan Yang Dipertua," katanya Loke.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS