Bekas Pengarah Kolej Kemahiran Belia Nasional (KKBN) Pontian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di Johor Baharu hari ini, atas pertuduhan salah guna wang berjumlah RM11,315, empat tahun lepas.

Zunaidah Abdul Razak, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Kamaruddin Kamsun.

Mengikut kertas pertuduhan, Zunaidah yang ketika itu sebagai Pengarah KKBN Pontian dengan curangnya menyalahgunakan bagi kegunaan sendiri wang berjumlah RM11,315 iaitu wang peruntukan elaun pelajar dan pelbagai belanja pentadbiran pejabat KKBN Pontian.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bank CIMB Berhad Pontian Kechil dekat Pontian, 28 Mei 2014.

Kesalahan berkenaan dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsyarina Raizan menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Zunaidah yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah atas alasan dia kini seorang suri rumah dan memiliki dua anak yang sedang belajar di universiti.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Nov depan untuk sebutan semula kes.

- Bernama