Undang-undang antilompat parti: Belum lagi, kata menteri
PARLIMEN | Kerajaan setakat ini belum bercadang untuk menggubal undang-undang antilompat parti bagi menyekat wakil rakyat daripada bertukar parti politik.
"Suruhanjaya Pilihan Raya berpandangan setakat ini, semua warga negara dijamin kebebasan berpersatuan.
"Ini selaras dengan Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan," kata Liew dalam jawapan bertulis parlimen hari ini.
Beliau berkata keputusan Mahkamah Persekutan dalam kes Nordin Salleh mengenai kebebasan berpersatuan masih terpakai.
Liew menjawab soalan Lim Lip Eng (MP Kepong) jika undang-undang antilompat parti akan digubal.
Nordin ialah ADUN Kelantan yang melompat parti dari PAS ke BN pada 1992.
Mahkamah Persekutuan memutuskan peraturan PAS yang menghalang wakil rakyatnya melompat parti melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan.
Sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu yang menyaksikan BN kehilangan kuasa selepas enam dekad berkuasa itu, seramai enam wakil rakyat parti Umno mengumumkan keluar parti.
Paling baru, MP Labuan Datuk Rozlan Isli yang keluar Umno dengan hasrat menyertai WARISAN, parti dari Sabah yang bergabung dengan kerajaan persekutan Pakatan Harapan.

