Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Usul jambatan bengkok MB Johor belum dibawa pada k'jaan - Azmin

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata jambatan bengkok merupakan usul yang dibawa oleh Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian dan belum dibawa kepada kerajaan persekutuan.

Azmin yang mengakui kerajaan persekutuan kini mempunyai cabaran kewangan menegaskan bahawa keutamanaan diberikan kepada infrastruktur yang memberikan kelebihan kepada rakyat seperti hospital dan sekolah.

“Ia dicadangkan oleh menteri besar Johor tetapi kami (kerajaan) turut menyatakannya dalam beberapa acara bahawa keadaan kewangan kita sekarang tak baik, jadi kita perlu mengutamakan projek infrastruktur.

“Tapi saya pasti kerajaan negeri akan bangkitkan perkara ini keperingkat persekutuan,” katanya kepada pemberita di parlimen, hari ini.

Azmin turut berkata pihaknya akan meneliti proposal dari kerajaan negeri Johor mengenai perkara itu bagaimanapun keutamaan akan diberikan kepada projek rakyat.

“Bila kita dah terima proposal, kementerian akan menelitinperkara ini dan buat keputusan sama ada kita mempunyai keupayaan dan masa untuk melaksanakan dengan segera atau kami akan menunda sehingga keadaan mengizinkan.

“Keutamaan diberikan projek terus kepada rakyat jadi saya sebut dalam pertemuan dengan editor (tadi) (projek seperti hospital, sekolah, jalanraya sepatutnya diberi keutaaan kerana ia terus kepada rakyat dan bagi manfaat pada rakyat,” katanya.

Semalam Osman berkata salah satu projek utama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu jambatan bengkok yang menghubungkan Johor dengan Singapura, mungkin menjadi kenyataan.

Osman berkata, jambatan itu, yang ditolak oleh dua perdana menteri sebelum ini, kini dalam perancangan semula sejak Dr Mahathir kembali menerajui negara.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu turut berkata Johor juga mempertimbangkan cadangan pembinaan jambatan ketiga ke Singapura.

Beliau berkata Mahathir bersetuju untuk memberikan bantuan persekutuan untuk membina jambatan ketiga itu.

Mengikut perancangan, projek jambatan berbentung S itu adalah lebuh raya enam lorong yang bertujuan menggantikan Tambak Johor.

Bagaimanapun, apabila Singapura tidak bersetuju, maka rancangan dibuat untuk membina hanya separuh jambatan itu dan menyambungnya dengan bahagian Singapura.

Ia diluluskan pada tahun terakhir kali pertama Dr Mahathir menjadi perdana menteri, sebelum dibatalkan oleh pentadbiran Abdullah.

Dr Mahathir dilaporkan pernah melobi Najib untuk membina jambatan itu tetapi tidak berjaya.

Lihat Komen
ADS