K'jaan tanggung subsidi lebih RM25 bilion tahun depan
Kerajaan terpaksa menanggung pengecualian cukai dan subsidi lebih RM25 billion tahun depan, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
Kerajaan terpaksa menanggung pengecualian cukai dan subsidi lebih RM25 billion tahun depan, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
Menurutnya, anggaran tersebut dibuat setelah mengambilkira subsidi yang diberikan oleh Petronas bagi tujuan penjanaan elektrik sekiranya harga produk petroleum dikekalkan.
"Tahun depan dijangkakan sebanyak RM10 bilion subsidi diberikan oleh Petronas bagi tujuan penjanaan elektrik," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di KUala Lumpur hari ini.
Menurut laporan Bernama, Hilmi berkata, peningkatan dalam tanggungan subsidi kerajaan ke atas produk petroleum adalah berikutan implikasi ke atas langkah kerajaan untuk tidak menaikkan harga runcit petroleum sehingga tahun depan.
Sementara itu ketika menjawab soalan senator Datuk Rizuan Abd Hamid pada persidangan Dewan Negara, beliau berkata, kerajaan yakin ekonomi negara akan terus cergas sehingga penghujung tahun ini dan seterusnya pada keseluruhan tahun depan.
Katanya keyakinan tersebut adalah berdasarkan momentum pertumbuhan ekonomi yang semakin cergas serta pencapaian keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk tempoh Januari hingga September yang sudah melebihi anggaran 5 peratus iaitu sebanyak 5.3 peratus.

