Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Wong Tack ikrar terus bersuara tentang Lynas
Diterbitkan:  Oct 17, 2018 3:57 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Anggota Parlimen Bentong Wong Tack hari ini berkata beliau akan terus bersuara tentang isu melibatkan Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng di Kuantan.

Menurut Wong Tack, beliau tidak akan membuat pusingan U dalam menentang Lynas Corporation Ltd, walaupun tidak lagi menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Kajian Semula LAMP.

Beliau berkata keputusan melepaskan jawatan timbalan pengerusi jawatankuasa itu diambil selepas beliau mendapati Lynas didakwa menggunakannya dan Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, pengerusi jawatankuasa berkenaan, sebagai senjata dalam isu itu.

"Kami melepaskan jawatan kerana tidak mahu Lynas memutar beliat isu ini. Kami dapat melihat dengan jelas bagaimana mereka memutarbelitkan isu ini setelah kami dilantik, dengan Fuziah dijadikan fokus utama. Kami rasa, kami telah membuat keputusan yang bijak (untuk berundur).

"Saya yakin, jawatankuasa baharu terdiri daripada enam pakar berkelayakan tinggi akan menjalankan tugas mereka dengan bebas. Biarlah mereka, bersama-sama agensi dan kementerian berkenaan, melaksanakan proses dengan sewajarnya.

"Saya yakin, kerajaan baharu Pakatan Harapan tidak akan membiarkan negara kita digunakan sebagai tempat untuk melonggok sisa dicemari radioaktif dari negara asing dan mendedahkan rakyat kita kepada risiko kesihatan yang tidak sepatutnya," kata beliau kepada pemberita di sini.

Wong Tack berkata pelantikan mereka dipertikai dengan hebat oleh Lynas kerana beliau dan Fuziah terkenal dengan pendirian mereka yang menentang Lynas sejak tujuh tahun lepas.

Anggota parlimen itu berkata beliau sependapat dengan Fuziah bahawa kesihatan dan keselamatan 600,000 penduduk Kuantan perlu diberi pertimbangan lebih utama berbanding pekerja Lynas yang mungkin kehilangan pekerjaan sekiranya operasi itu dihentikan.

"Ini bukan soal ringgit dan sen. Kami ingin memastikan alam sekitar berada dalam keadaan selamat untuk generasi kita yang akan datang," katanya.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS