Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tey akur jika DAP arah pulangkan semula pingat

“Saya terima pingat Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kerana menghormati anugerah yang diberikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Khalil Yaakob,” kata Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok View.

“Penganugerahan tersebut adalah satu penghargaan daripada Yang Dipertua Negeri Melaka atas jasa dan sumbangan yang saya berikan kepada kerajaan negeri dan saya menghargainya,” kata Tey kepada pemberita di Melaka hari ini.

Tey yang juga anggota Exco bagi Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar berkata beliau bagaimanapun akur dengan arahan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP sekiranya diminta untuk menyerahkan kembali pingat tersebut yang membawa gelaran Datuk.

Katanya sehingga kini, beliau belum menerima sebarang arahan daripada pusat untuk berbuat demikian.

Media sebelum ini melaporkan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegur sikap pemimpin parti itu yang menerima anugerah darjah kebesaran negeri Sabah dan Melaka “sebelum menunjukkan komitmen serta prestasi kepada rakyat”.

Guan Eng berkata CEC DAP akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi membincangkan perkara itu kerana menyifatkan ia (menerima anugerah) tidak mencerminkan perjuangan parti.

Tey berkata beliau mohon maaf kepada Yang Dipertua Negeri Melaka atas polimik politik yang tular sehingga boleh mencemarkan imej negeri Melaka.

“Saya ingin melafazkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada pemimpin tertinggi negeri Melaka, Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan saya juga menghormati Institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.

Beliau meminta agar kepimpinan pusat DAP memaklumkan kepada ahli-ahli DAP serta Yang di-Pertuan Agong, Sultan, Raja dan Yang Dipertua Negeri mengenai larangan semua pemimpin politik DAP daripada menerima apa-apa anugerah pingat dan darjah kebesaran.

Selain Tey, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Dr. Wong Fort Pin turut menerima pingat Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) bersempena sambutan ulang tahun ke-80 Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Khalil Yaakob pada 13 Okt.

- Bernama

Lihat Komen
ADS