Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar sekolah, IPT antara 68 ditahan sertai parti liar di KL

Polis berjaya mengesan beberapa aktiviti penyalahgunaan dadah dan gejala tidak bermoral yang kini beralih dari kelab malam kepada 'private party’ yang dianjurkan di kondominium mewah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pihaknya menahan 68 warga tempatan berusia antara 16 dan 35 tahun termasuk pelajar institusi pengajian tinggi, yang kebanyakannya dipercayai berhibur sambil mengambil dadah dalam tiga serbuan berasingan di sekitar ibu negara pada Sabtu dan Ahad lepas.

Serbuan pertama dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Cendana pada 3 pagi, Sabtu lepas yang membawa kepada penahanan sembilan lelaki dan lima wanita.

“Bertindak atas maklumat, polis melakukan serbuan kedua di sebuah lagi kondominium di Jalan Sultan Ismail pada kira-kira 3.30 pagi keesokan harinya dan menahan sembilan lelaki serta empat wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata turut dirampas lima gram dadah disyaki ganja dan lima pil ekstasi dalam serbuan kedua berkenaan.

Mazlan berkata pemeriksaan polis di tiga unit kondominium di Jalan Abdullah Hukum pada kira-kira 1.30 pagi Ahad pula membawa kepada penahanan 32 lelaki dan sembilan perempuan termasuk seorang pelajar sekolah.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati 39 daripada keseluruhan mereka yang ditahan positif dadah.

Beliau berkata kesemua mereka direman lima hari bermula Ahad lepas sehingga esok bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas ke atas pemilik kondominium dan pihak yang terlibat dalam penganjuran parti liar melibatkan penyalahgunaan dadah dan gejala tidak bermoral,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di talian 03-21460708, bilik gerakan IPK itu di talian 03-21460584 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS