Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pewakaf gembira YIK urus Maahad Darul Anuar
Diterbitkan:  Oct 17, 2018 8:46 PM
Dikemaskini: 12:52 PM

Keputusan Keluarga Besar Nikmatillah untuk menyerahkan pengurusan Maahad Darul Anuar, Pulau Melaka, yang diwarisi daripada bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) menggembirakan pewakaf tanah yang menempatkan sekolah agama itu.

Perkara itu dinyatakan ahli lembaga pengarahnya, Nik Din Nik Mat berhubung proses ambil alih pengurusan yang kini sudah dipersetujui YIK sendiri.

Katanya, keputusan YIK untuk mengurus semula Maahad Darul Anuar begitu mengujakan Keluarga Besar Nikmatillah.

"Keputusan berkenaan turut disambut gembira bekas pelajar dan tenaga pengajar sekolah terbabit.

"Keputusan itu juga turut mengembirakan pewakaf tanah seluas lima ekar setengah yang seramai tujuh orang," katanya seperti dilaporkan Harakahdaily, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan YIK bersetuju untuk menguruskan semula Maahad Darul Anuar yang kini ditadbir anak pertama Nik Abdu Aziz iaitu Nik Omar sebagai pengetua.

Perkara itu turut disahkan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, manakala pengurusan YIK itu akan bermula pada tahun depan.

Menurut laporan Harakahdaily, Maahad Darul Anuar diambil alih Keluarga Besar Nikmatillah daripada YIK pada 2009, jumlah pelajar seramai 1,200 orang dan kini mempunyai pelajar tidak sampai 100 orang.

Nik Din Nik Mat berkata, mengambil kira masalah tersebut pihaknya bersetuju menyerahkan semula sekolah berkenaan kepada YIK.

Malah katanya, sejak 2016 lagi lembaga pengarah Maahad Darul Anuar berharap penyerahan itu terlaksana.

"Keluarga bermesyuarat untuk mengambil ketetapan baru terhadap nasib sekolah tersebut.

"Akhirnya satu pencapaian diambil sebulat suara bersetuju untuk menyerahkan semula Maahad Darul Anuar diurus YIK," katanya dipetik sebagai berkata.

Lihat Komen
ADS