Polis mengeluarkan notis kepada isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor agar hadir berjumpa polis unit anti-Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) minggu depan.

Salah seorang peguam Rosmah mengesahkan bahawa isteri bekas perdana menteri itu akan memberi keterangan kepada polis di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur pada 25 Okt.

Difahamkan bahawa notis yang diterima Rosmah semalam (Rabu) tidak menyebutkan secara spesifik alasan Rosmah dipanggil hadir selain membantu siasatan di bawah Amla.

"Tapi kami percaya ia ada kaitan dengan barang rampasan, terutamanya barang kemas," kata peguam itu yang minta namanya dirahsiakan.

Sumber polis sebelum ini berkata bahawa polis memanggil Rosmah untuk memberi keterangan berhubung siasatan ke atas barang kemas berkenaan Jumaat ini, namun peguam itu berkata anak guamnya memohon untuk menukar tarikh atas alasan yang tidak dinyatakan.

"Beliau akan membantu siasatan yang berhubung pemilikan dan pembelian barang kemas berkenaan," kata sumber tanpa memberi butiran lanjut.

Pada Jun lalu, Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh berkata polis merampas barang kemas bernilai RM440 juta daripada kediaman yang dikaitkan dengan Najib dalam proses siasatan ke atas 1MDB.

Barang kemas berkenaan termasuk 1,400 rantai, 2,200 cincin, 2,100 gelang, 2,800 anting-anting, dan 14 tiara.

Selain itu, polis juga merampas 567 beg berjenama yang dianggar bernilai RM51.3 juta, 423 jam tangan dan 234 cermin mata yang masing-masing bernilai RM79 juta dan RM374,000.

Pada 4 Okt, Rosmah dikenakan 12 pertuduhan berhubung pengubahan wang haram, melibatkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan kerana didakwa gagal membuat penyata tuntutan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS