Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli Umno diseru solat hajat untuk Zahid
Diterbitkan:  Oct 17, 2018 10:40 PM
Dikemaskini: 3:52 PM

Anggota Umno diseru mengadakan solat hajat untuk presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pihaknya berdiri teguh di samping Zahid dan berdoa agar bekas timbalan perdana menteri itu diberikan kesabaran di saat-saat seperti ini.

"Saya menyeru kepada semua rakyat, penyokong dan ahli-ahli Umno agar mengadakan solat hajat memohon pertolongan dari Allah SWT sama ada secara berjamaah atau bersendirian," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad turut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Zahid.

Menurut Saarani, Umno Perak yakin Zahid berada di pihak yang benar dan akan mendapat pertolongan Allah.

"Ahli-ahli Umno Perak akan terus mengadakan majlis bacaan yasin dan solat hajat memohon pertolongan daripada Allah agar Datuk Seri presiden diberikan kekuatan mental dan fizikal dalam menghadapi dugaan ini.

"Semoga Allah SWT memberikan hidayahnya kepada orang-orang terlibat mengendalikan siasatan dan pendakwaan ke atas beliau, sehingga beliau akan dibebaskan. Insya Allah," katanya.

Media hari ini melaporkan Ahmad Zahid diminta hadir esok di SPRM Putrajaya untuk diambil keterangan – buat kali keenam berhubung siasatan kes seleweng dana sebuah yayasan.

Menurut sumber SPRM, Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri, diminta hadir di bangunan SPRM pada 3 petang.

SPRM kini menjalankan siasatan terhadap dana Yayasan Akal Budi milik keluarga Ahmad Zahid, yang juga pengerusi yayasan itu, yang ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti amal.

Lihat Komen
ADS