Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
41 pengetua cemerlang ditempatkan di sekolah prestasi rendah

Seramai 41 pengetua berprestasi cemerlang akan ditempatkan di sekolah-sekolah harapan (berprestasi rendah) di seluruh negara di bawah program Pelonjakan Kepimpinan Sekolah (ProPeks) Kohort 2018.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam kenyataan hari ini berkata kumpulan pertama pengetua tersebut akan berkhidmat selama tiga tahun di sekolah-sekolah yang memerlukan perhatian dan bantuan dalam aspek kepimpinan dan pengurusan sekolah.

"Sepanjang tempoh itu, mereka akan dibantu oleh pensyarah pembimbing dari Institut Aminuddin Baki (IAB)," katanya.

Kesemua pengetua terbabit telah menerima Watikah ProPeks Kohort 2018 daripada Maszlee pada satu majlis yang diadakan di IAB, Genting Highlands hari ini.

Menyifatkan pengetua cemerlang terbabit sebagai "hero anak bangsa", Maszlee berkata penempatan mereka merupakan amanah yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan untuk membawa perubahan kepada sekolah berprestasi rendah.

Maszlee berkata penempatan pengetua-pengetua berprestasi cemerlang di sekolah-sekolah berprestasi rendah di bawah program itu adalah satu bentuk pengiktirafan kepada kecemerlangan kepimpinan mereka di sekolah terdahulu.

"Jatuh bangun dan kejayaan sesebuah organisasi tidak hanya bergantung kepada kualiti dan kecekapan ahlinya, malah kualiti kepimpinan organisasi tersebut.

"Dalam konteks sistem pendidikan kita, kepimpinan strategik pada peringkat Kementerian Pendidikan yang mantap perlu disokong oleh kumpulan kepimpinan yang dinamik pada peringkat jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah," katanya.

Maszlee berkata ProPeks yang mendokong aspirasi Anjakan Kelima dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bagi memastikan setiap sekolah dipimpin oleh individu berprestasi tinggi.

Menurutnya projek rintis ProPeks melibatkan sembilan pengetua berprestasi cemerlang telah memulakan khidmat mereka sejak tahun lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS