Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kanak-kanak 14 bulan meninggal dunia akibat difteria
Diterbitkan:  Oct 17, 2018 11:07 PM
Dikemaskini: 3:10 PM

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 bulan disahkan meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria di daerah ini, dua hari lepas.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata kanak-kanak itu tidak pernah menerima sebarang imunisasi difteria kerana keluarganya enggan menerima imunisasi.

“Kanak-kanak tersebut mula mengalami demam dan sakit tekak pada 4 Okt dan telah dibawa oleh ibunya mendapatkan rawatan awal di klinik swasta pada 11 Okt.

“Keesokan harinya, kanak-kanak tersebut telah dibawa ke unit kecemasan hospital kerana sesak nafas dan hilang selera makan. Pesakit dimasukkan ke wad kanak-kanak dan seterusnya dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik pada 13 Okt kerana keadaan semakin lemah dan memerlukan bantuan pernafasan,” kata kementerian itu.

Menurut KKM, kanak-kanak tersebut meninggal dunia pada 15 Okt akibat mengalami difteria yang teruk dan kegagalan multiorgan.

“Ujian pengesanan ke atas sampel calitan tekak pesakit menunjukkan kehadiran bakteria Corynebacterium diphtheriae dan pihak kementerian kini menunggu keputusan ujian pengesahan makmal,” tambah KKM.

Penyakit difteria merupakan jangkitan kuman bakteria Corynebacterium diphtheriae yang menyebabkan gejala sakit tekak dengan selaput di dalam tekak (farinks/kerongkong), dengan kemungkinan berlaku komplikasi bakteremia dan endokarditis (infeksi pada jantung) sehingga boleh membawa maut.

Bagi membendung penularan jangkitan ini adalah termasuk pencarian kes secara aktif di kawasan kediaman kes, aktiviti pemberian imunisasi, dan pendidikan kesihatan.

Sehingga hari ini, tiada kes baharu dilaporkan kepada kementerian ini.

Justeru, KKM ingin menasihati orang awam agar sentiasa berwaspada terhadap penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui imunisasi seperti difteria, measles, mumps dan lain-lain.

“Perkhidmatan imunisasi ini boleh diperolehi daripada klinik kesihatan kerajaan dan swasta. Kegagalan memberikan imunisasi kepada kanak-kanak bukan sahaja mendedahkan kanak-kanak tersebut kepada jangkitan kuman malahan boleh membahayakan komuniti,” tambah kementerian itu.

Sehubungan dengan itu, ibu bapa yang masih belum memberikan imunisasi kepada anak-anak mereka dinasihatkan tampil untuk mendapatkan imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Bagi kanak–kanak yang telah tercicir suntikan, mereka masih boleh mendapatkan perkhidmatan di mana-mana klinik kesihatan terdekat.

-Bernama

Lihat Komen
ADS