Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ternakan ikan air tawar untuk hadapi musim tengkujuh
Diterbitkan:  Oct 18, 2018 9:42 AM
Dikemaskini: 1:49 AM

Projek penambahbaikan penternakan ikan air tawar di Kampung Pantai Ali di Hulu Terengganu  memberi kelegaan kepada 26 pengusaha ikan sangkar untuk berdepan musim tengkujuh tidak lama lagi.

Di bawah projek yang dimulakan bulan lepas itu, sebanyak 16 unit sauh (pemberat konkrit) telah diturunkan ke dasar sungai selain penanaman cerucuk bertujuan mengelak sangkar hanyut dan mengurangkan risiko sangkar ikan rosak.

Seorang pengusaha, Zakaria Ismail, 61, berkata sebelum ini setiap kali tiba musim tengkujuh, para penternak berdepan isu kerosakan pusat sangkar disebabkan hentaman kayu besar atau benda hanyut akibat banjir.

"Namun dengan adanya sauh itu nanti, sangkar ikan akan lebih stabil dan tidak hanyut ke tengah sungai," katanya kepada Bernama di sini.

Ketika ini, terdapat 230 sangkar yang diusahakan 26 penduduk setempat di kawasan itu yang kebanyakannya menternak ikan tilapia, patin dan lampam yang dijual kepada pemborong dari Temerloh, Pahang serta pemborong di sekitar Terengganu.

Terengganu dijangka mula mengalami Monsun Timur Laut pada awal November ini dan berlarutan sehingga awal Februari 2019.

Seorang lagi pengusaha ikan, Mohd Faizal Mohamad, 32, berkata setiap kali musim tengkujuh tiba, mereka pasti akan mengalami sedikit kerugian akibat kerosakan pukat yang menyebabkan ikan diternak keluar dari sangkar.

"Namun, ia tidak mematahkan semangat kami untuk terus bekerja pada musim tengkujuh kerana lebih baik rugi sedikit daripada duduk berpeluk tubuh sahaja, lagipun saya ada kemahiran menjahit pukat dengan upah antara RM90 hingga RM100 untuk satu sangkar sebagai pendapatan sampingan," katanya.

Bagi Jamal Abdullah, 43, yang mengusahakan lima sangkar pula, bersyukur dengan bimbingan dan khidmat nasihat yang diberi Jabatan Perikanan Negeri Terengganu kepada mereka selama ini.

"Kerajaan banyak bantu kami dalam projek penternakan ikan air tawar ini dan sentiasa turun padang memahami permasalahan kami terutama untuk menghadapi tengkujuh pada bulan depan,” katanya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS