Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Pendakwaan ke atas Ahmad Zahid cubaan malukan pemimpin Umno’
Diterbitkan:  Oct 18, 2018 11:18 AM
Dikemaskini: 3:26 AM

Pemimpin Umno terus membidas spekulasi bahawa kerajaan akan mendakwa Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di mahkamah esok yang menurut mereka bertujuan memalukan pemimpin parti tersebut.

Terbaru, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Jalaluddin Alias berkata, tampil dan mendesak kerajaan memberhentikan tindakan tidak bermoral itu yang dilihat seolah-olah untuk menonjolkan imej kurang baik seorang pemimpin tulen.

“Pendakwaan ini adalah rentetan kepada usaha untuk memalukan pemimpin-pemimpin Umno di seluruh negara bermula dengan bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Azeez Rahim. Turut didakwa isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Bagaimanapun saya yakin rakyat tidak akan terpengaruh dengan niat jahat kerajaan kerana umum mengakui Ahmad Zahid sejak dulu lagi membela rakyat tanpa melihat asal keturunan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

Jalaluddin (foto, atas) berkata demikian berikutan spekulasi bekas timbalan perdana menteri itu akan didakwa di mahkamah esok, susulan beberapa siri siasatan terhadapnya oleh SPRM. Ahmad Zahid juga dijadualkan untuk hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu sekali lagi, hari ini.

Jalaluddin yang juga ahli Parlimen Jelebu berkata, Ahmad Zahid sentiasa membantu rakyat atas kapasitinya sebagai orang nombor dua negara sebelum ini selain mempengerusikan berpuluh jawatankuasa kabinet bertujuan membantu rakyat.

“Tindakan ini adalah salah satu strategi untuk memaparkan Ahmad Zahid sebagai seorang yang tidak amanah dan tidak layak untuk menjadi pemimpin sedangkan rakyat tahu beliau banyak berjasa kepada negara ini.

“Kita mahu kerajaan memberhentikan tindakan tidak bermoral ini yang dilihat seolah-olah untuk menonjolkan imej kurang baik seorang pemimpin tulen,” katanya.

Politik balas dendam

Menurutnya, kerajaan seharusnya memberi tumpuan untuk membangunkan negara demi kepentingan rakyat dan bukan mengamalkan politik membalas dendam.

“Cukup-cukuplah menyalahkan orang lain sebaliknya bantulah rakyat yang semakin resah gelisah kerana tiada pekerjaan dan terkesan dengan kenaikan harga barang,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad turut menyatakan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada Ahmad Zahid.

Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, beliau berkata, Umno Perak mendoakan semoga Ahmad Zahid akan menghadapi semua dugaan dengan tabah.

“Kami yakin beliau berada di pihak yang benar dan akan mendapat pertolongan Allah SWT jua.

“Ahli-ahli Umno Perak akan teruskan mengadakan majlis bacaan yasin dan solat hajat memohon pertolongan daripada Allah SWT semoga presiden kami diberikan kekuatan mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran dan dugaan ini.

“Semoga Allah SWT memberikan hidayahnya kepada orang-orang terlibat mengendalikan siasatan dan pendakwaan ke atas beliau, sehingga beliau akan dibebaskan. Insya-Allah,” katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga mengeluarkan kenyataan yang hampir sama kepada Malaysiakini, malam semalam.

Menurut beliau, Umno sentiasa berdiri teguh bersama disamping berdoa kepada Allah SWT agar mengurniakan kesabaran dan ketabahan kepada Ahmad Zahid di saat saat ini.

“Saya juga menyeru kepada semua rakyat, penyokong dan ahli ahli Umno agar mengadakan solat hajat memohon pertolongan dari Allah SWT sama ada secara berjamaah atau persendirian,” katanya.

Lihat Komen
ADS