DAP memecat timbalan pengerusi biro buruhnya Amran Ahmad Nor selepas beliau menyerang parti sendiri bermula beberapa hari menjelang pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Anak bekas naib pengerusi DAP Ahmad Nor mengumumkan perkara itu di Facebook beliau dengan memuat naik salinan surat pemecatan.

Surat bertarikh 15 Oktober itu ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Ching Cheng Jen.

Pemecatan itu berkuat kuasa serta merta. Bagaimanapun Amran dibenarkan merayu dalam tempoh 14 hari.

Dalam kenyataannya hari ini, Amran berkata beliau menerima keputusan itu dengan lapang dada.

Amran bagaimanapun berkata tidak akan merayu kerana berpendapat DAP telah berubah hala tuju dan dasar perjuangan.