Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berpendapat Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad perlu membuat kunjungan hormat terhadap Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Yusof.

Ini susulan timbul isu berkaitan bidang kuasanya selepas menguatkuasakan larangan merokok di kawasan parlimen.

“Saya sebagai menteri yang jaga hal ehwal parlimen pun tak dimaklumkan.

“Jadi saya rasa baiklah bahawa menteri berkenaan buat satu kunjungan hormat pada speaker untuk maklumkan pada speaker hasrat untuk haramkan perokok untuk merokok di parlimen,” katanya kepada pemberita di parlimen, hari ini.

Dalam sesi Dewan Rakyat pagi tadi, Johari Abdul (HARAPAN-Sungai Petani) membangkitkan isu bidang kuasa Dr Dzulkefly yang mengenakan larangan merokok di parlimen bermula Isnin lalu.

Katanya, menteri tiada kuasa menguatkuasakan undang-undang itu kerana parlimen berada bawah bidang kuasa speaker.

Sementara itu, Liew juga berkata beliau difahamkan speaker memang tidak dimaklumkan berkaitan pengeluaran notis dan penguatkuasaan itu.

Liew juga berkata, beliau dimaklumkan bahawa Dr Dzulkefly akan bertemu Arif bagi tujuan itu hari ini.