Permohonan oleh 1MDB dan kerajaan untuk mendapatkan penghakiman ingkar (JID) mengenai penjualan kapal layar mewah, Equanimity akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.

Peguam Sitpah Selvaratnam, yang mengetuai pasukan perundangan untuk kerajaan dan 1MDB yang dilantik oleh Jabatan Peguam Negara, memberitahu pemberita bahawa perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Khadijah Idris yang dijadualkan jam 9.35 pagi ini telah ditangguhkan hingga Jumaat.

"(Perbicaraan) akan diteruskan esok. Datang jumpa kami esok... jam 3 petang," kata Sitpah di luar mahkamah selepas perbicaraan permohonan itu di kamar hakim ditangguhkan pada jam 11 pagi.

Plaintif memohon JID untuk membolehkan Equanimity dijual tanpa kehadiran pemilik berdaftarnya, Equanimity (Cayman) Ltd.

Pada 24 Ogos, Mahkamah Tinggi membernarkan permohonan 1MDB dan kerajaan untuk menjual Equanimity, manakala mahkamah akan kemudiannya memutuskan siapa yang layak menerima hasil penjualan itu.

Mahkamah membuat keputusannya selepas tempoh akhir 14 hari untuk Equanimity Ltd untuk memfailkan penampilan kepada kes itu tamat tempohnya.

Equanimity Ltd, dalam satu kenyataan pada 24 Ogos, berkata penjualan Equanimity adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa, memandangkan pemilikan kapal layar itu masih dicabar di mahkamah Amerika Syarikat.

Syarikat itu juga mendakwa bahawa ia tidak menerima apa-apa notis yang sah mengenai perbicaraan mahkamah.

[Baca berita penuh]