Kongres PKR bawa agenda perubahan
Terjemahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah bersiap sedia dengan agenda perubahannya untuk dibawa dalam kongres tahunannya yang bermula Khamis ini, kata Ketua Penerangannya, Tian Chua.
Terjemahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah bersiap sedia dengan agenda perubahannya untuk dibawa dalam kongres tahunannya yang bermula Khamis ini, kata Ketua Penerangannya, Tian Chua.
Kongres tiga hari itu, katanya, amat penting kerana ia mahu menonjolkan PKR sebagai "kuasa politik yang berbeza dari parti-parti politik lain di negara ini".
Ini adalah kongres kedua PKR sejak ia dibentuk hasil gabungan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
"Kami mahu terus menyakinkan rakyat bahawa PKR berbeza dari Umno dan parti-parti komponen Barisan Nasional lain yang terus memainkan isu-isu lama," katanya dalam sidang media mengenai kongres tersebut di ibu pejabat PKR di Brickfileds, Kuala Lumpur.
Kongres yang akan berlangsung di Hotel Istana di ibunegara itu, bertemakan " Masa untuk Berubah".
"Kami bukan sahaja bercakap mengenai perubahan dalam kerajaan dan dasar-dasarnya, malah perubahan dalam parti-parti pembangkang, gerakan sosial dan PKR sendiri.
"Kami akan menggunakan kongres ini untuk menilai diri dalam usaha untuk hidup dan maju dalam lanskap politik Malaysia yang baru," katanya.
Menurutnya, para perwakilan akan diuji untuk mengetengahkan pendapat dan membahaskan usul yang dibentangkan.
Antara isu-isu yang akan dibahaskan ialah dasar ekonomi negara, integriti perlembagaan negara, reformasi pilihanraya, penswastan perkhidmatan kesihatan, serta isu-isu pendidikan termasuk pilihanraya kampus dan kemerosotan mutu universiti serta pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
Kongres itu akan dimulakan dengan persidangan sayap Pemuda dan Wanita pada hari Khamis ini. Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucapan khas di majlis tersebut.
Dirancang pada saat akhir
Sementara itu, beberapa pemimpin PKR di peringkat akar umbi mendakwa kongres kali ini tidak dirancang dengan baik kerana diputuskan di saat-saat akhir.
Seorang ketua bahagian mendakwa, dia hanya menerima surat jemputan menghadiri kongres tersebut pada 20 Oktober lalu.
"Notis yang dihantar di saat-saat akhir itu menyukarkan bahagian untuk mengumpul para perwakilannya bagi menghadiri kongres ini," katanya.
Katanya lagi, berikutan persediaan yang tidak rapi itu, hanya separuh daripada keseluruhan delegasi mengesahkan akan menghadirinya.
"Jumlah kehadiran yang rendah akan hanya mencemar imej Anwar. Ini akan membuka ruang kepada musuh PKR mencemuh Anwar dan mendakwa penasihat PKR itu gagal menarik para penyokongnya menghadiri majlis yang sangat penting bagi parti," ujarnya.
Seorang lagi pemimpin bahagian mendakwa tiada jawatankuasa khas diwujudkan untuk menapis dan memilih usul -usul yang dicadangkan oleh bahagian.
"Selain itu bahagian-bahagian tidak diberitahu batas masa untuk mengemukakan usul dan ini menyebabkan hanya beberapa bahagian sahaja sempat menghantar usul mereka.
"Apa yang berlaku kepada kita? Kalau kita tidak mampu menguruskan kongres ini dengan baik, bagaimana orang ramai hendak menyokong kita?" soal beliau.
Katanya lagi, persiapan yang tidak rapi ini juga akan menjatuhkan nama baik Setiausaha Agung PKR, Datuk Kamarul Bahrain Abas.
Mengulas rungutan tersebut, Tian mengakui PKR menghadapi beberapa kelemahan dalam membuat persediaan kongres itu, tetapi memberi jaminan ia akan berjalan lancar.
Antara masalahnya, kata beliau, ialah kelewatan mendapatkan pengesahan tempat persidangan.
"Sebahagian besar bahagian diberitahu awal mengenai tarikh kongres, cuma notis rasmi lewat dihantar kerana menunggu pengesahan tempat mesyuarat diadakan.
"Bagaimanapun semua notis telah dihantar dalam tempoh yang ditetapkan oleh perlembagaan parti," jelasnya.
Tian juga menafikan dakwan tidak wujudnya jawatankuasa khas untuk menerima dan menapis usul dari bahagian.
Katanya, Naib Presiden, R. Sivarasa telah dilantik mengetuai jawatankuasa tersebut.
PKR mempunyai 163 bahagian dan setiap bahagian dibenarkan menghantar 12 perwakilan dan lima pemerhati. Setakat ini 1,482 orang mengesahkan menghadirinya.

