Faktor luaran punca aliran keluar modal asing - Lim
PARLIMEN l Peningkatan sentimen pasaran akibat daripada faktor luaran yang mendominasi tingkah laku pelabur merupakan antara punca utama yang menyebabkan pengaliran keluar modal asing dari negara ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau berkata antara elemen utama yang mempengaruhi ialah pengukuhan dolar AS berbanding mata wang lain dan kenaikan pulangan bon dari Amerika Syarikat (AS) yang melebihi paras tiga peratus berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah.
“Selain itu ketegangan dagangan antara AS dan China mulai nampak kesan ekonominya ke atas negara China,” kata Lim.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanyakan tentang punca mengapa pelabur asing dikatakan menjual saham bernilai RM1.05 bilion di Bursa Malaysia pada minggu lepas, pada sesi soal-jawab di persidangan Dewan Rakyat, hari ini,
Menurutnya lagi, ketidakpastian hala tuju pasaran di Eropah yang membawa kesan tidak menentu di rantau ini selain tekanan ke atas pasaran minyak mentah dan ketegangan antara Arab Saudi dan AS turut mempengaruhi sentimen pelabur.
Bagaimanapun, Lim berkata aliran keluar modal asing pada minggu berakhir 13 Okt itu adalah antara yang terendah di pasaran serantau.
Menurutnya, aliran keluar modal asing di Thailand berjumlah US$701.70 juta; Malaysia (US$ 253 juta); Indonesia (US$ 273.53 juta) dan Filipina (US$ 51.30 juta).
Manakala bagi tempoh 10 Mei-13 Okt 2018, aliran keluar modal asing di pasaran ekuiti Thailand adalah sebanyak US$ 4,634.20 juta; Malaysia (US$3,035.00 juta); Indonesia (US$ 1,441.39 juta) dan Filipina (US$ 850.42 juta).
Sementara itu, katanya, dari tempoh 1 Jan-17 Okt 2018, nilai ringgit berbanding dolar AS telah menyusut sebanyak 2.15 peratus namun prestasinya lebih stabil berbanding mata wang serantau seperti rupiah Indonesia yang jatuh (-10.44 peratus), dolar Singapura (-2.82 peratus) dan peso Filipina (-7.30 peratus).
“Ini menunjukkan keyakinan pihak pelabur terhadap Malaysia dan juga keupayaan negara kita untuk menghadapi cabaran ekonomi dari luar negara,” katanya.
Lim berkata kerajaan akan sentiasa menangani masalah fiskal yang diwarisi oleh kerajaan sebelum ini dengan menggubal dasar baharu untuk meningkat dan memperkukuh daya saing, kecekapan, produktiviti dan keuntungan syarikat.
- Bernama

