Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kertas putih pertahanan dibentang di parlimen tahun depan
Diterbitkan:  Oct 18, 2018 4:05 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

PARLIMEN l Satu Kertas Putih Pertahanan yang menggariskan prinsip dan strategi pertahanan serta pelan pembangunan keupayaan terkini Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dibentangkan di Parlimen pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Chin Tong berkata bagi memastikan dasar pertahanan negara dapat menangani cabaran semasa dan akan datang, kertas putih itu akan disediakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata kementerian akan menggunakan pendekatan 'whole-of-government' atau 'whole of society approach' di dalam merangka kertas putih berkenaan.

"Isu berkaitan pertahanan dan keselamatan wajar dibincangkan secara terbuka untuk memastikan setiap lapisan masyarakat dapat memahami kepentingan pertahanan dan keselamatan, serta menggalas tanggungjawab secara bersama selaras dengan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) di bawah dasar pertahanan negara," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Hon Wai (Bukit Bendera-PH) berhubung dasar pertahanan negara dalam menghadapi cabaran daripada segi udara, laut, darat dan siber.

Mengulas lanjut, Liew berkata tujuan kertas putih pertahanan diadakan adalah bagi memaklumkan kepada anggota Parlimen dan juga rakyat tentang cabaran yang dihadapi kementerian.

"(Juga) untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat dan dewan supaya kita dapat tangani isu dan cabaran baharu seperti cabaran siber dan biokimia, kita mesti bersedia sebagai satu negara.

"ATM dan kementerian ada Pelan Pembangunan Keupayaan Dimensi Keempat Angkatan Tentera Malaysia (4D MAF) dan pelan-pelan lain, tetapi memang keadaan, strategi dan geopolitik kita berkembang dan berubah cepat, kita perlu satu negara iaitu kita semua memahami cabaran yang akan datang supaya kita hadapinya bersama," katanya.

Liew menjawab soalan tambahan Ahmad Amzad Mohamed (Kuala Terengganu-PAS) berhubung persediaan kementerian menghadapi cabaran keselamatan berbentuk baharu termasuk ancaman siber dan nuklear.

Jelasnya, tugas untuk mempertahankan negara sememangnya adalah tugas ATM dan kementerian namun rakyat juga perlu turut mengambil berat dan menghadapi semua cabaran secara bersama.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS