Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi hari ini bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes penyelewengan dana sebuah yayasan.

Ia merupakan kali keenam bekas timbalan perdana menteri itu dipanggil ke SPRM berhubung siasatan kes berkenaan.

Ahmad Zahid yang menaiki kenderaan jenis Lexus berwarna putih itu tiba di ibu pejabat SPRM pada kira-kira 3 petang.

Anggota Parlimen Bagan Datuk yang berbaju batik itu sentiasa tersenyum dan melambai-lambai kepada kumpulan pengamal media yang bersesak-sesak mahu merakamkan kelibatnya sehingga beliau hilang daripada pandangan.

Kira-kira 50 penyokong Ahmad Zahid pula menunggu di pintu masuk bangunan SPRM untuk menunjukkan solidariti terhadap presiden Umno itu.

Semalam, bekas menteri dalam negeri itu menerima notis SPRM untuk hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 3 petang hari ini bagi memberikan keterangan yang dipercayai berhubung dakwaan penyelewengan dana yayasan milik keluarganya, Yayasan Akal Budi.

Sebelum ini, Ahmad Zahid telah lima kali dipanggil memberi keterangan dengan kali terakhir pada 12 Okt lalu.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam dalam kenyataan semalam mendakwa Ahmad Zahid dijangka didakwa di mahkamah esok.

Terdahulu, kenderaan Lexus putih yang membawa bekas timbalan perdana menteri itu dilihat meninggalkan kediamannya di Country Heights, Kajang pada kira-kira 2.45 petang.

Tinjauan Bernama ke lokasi kediaman elit itu mendapati kawasan itu dikawal ketat pengawal keselamatan dan pihak media tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu.

Difahamkan, Ahmad Zahid menggunakan laluan keluar kedua bagi mengelak bertembung dengan kumpulan media yang berkampung di pintu utama kawasan itu.

- Bernama