Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
K'jaan akan kaji peranan syarikat milik k'jaan, entiti monopoli

RMK11 | Kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan akan memberi tumpuan untuk mengkaji semula dan memperkemas peranan syarikat milik kerajaan (SOE) dan entiti monopoli dalam tempoh akhir Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dari 2018-2020 bagi meningkatkan kecekapan pasaran serta persaingan yang adil.

Menurut Laporan Kajian Separuh Penggal RMK11 Keutamaan dan Penekanan Baharu yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi hari ini, langkah tersebut juga sebahagian daripada strategi untuk menambah baik aspek kecekapan pasaran.

"Pasaran tidak cekap dan persaingan tidak sihat merupakan halangan kepada pertumbuhan dan pembangunan mampan. Dalam hal ini, herotan pasaran dan amalan yang tidak adil akan ditangani untuk menggalakkan kecekapan pasaran dan persaingan sihat dalam ekonomi," kata laporan itu.

Langkah akan turut diambil bagi memperkemas peranan SOE dan entiti monopoli lain untuk menggalakkan kecekapan pasaran dan melindungi kepentingan pengguna.

“Satu jawatankuasa khas peringkat menteri akan mengkaji semula dasar dan pemberian konsesi yang bersifat monopoli kepada entiti tertentu bagi memastikan peningkatan kecekapan pasaran.

"Selain itu, dasar dan rangka kerja tadbir urus nasional akan digubal untuk penjajaran SOE dan entiti monopoli yang lain dengan agenda utama pembangunan negara," katanya.

Entiti tersebut akan turut digalakkan untuk mempergiat inovasi dan penerimagunaan teknologi sejajar dengan Revolusi Perindustrian 4.0 bagi meningkatkan produktiviti serta mewujudkan peluang pasaran lebih luas kepada industri dalam negara melalui strategi yang didorong oleh eksport dan pertumbuhan dunia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS