PAS kata DAP tak boleh 'masuk' dengan sistem beraja
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan DAP tidak dapat menerima sistem monarki kerana parti itu berteraskan sistem sosialis.
Mengulas mengenai pengurniaan darjah kebesaran kepada pemimpin DAP katanya, parti itu mempunyai pemikiran sendiri.
"Itulah DAP ini bersifat sosialis, sebab itu awal-awal lagi kita kata DAP ini parti sosialis.
"Sosialis ini dia memang tak boleh masuk dengan sistem pemikiran monarki, dia ada pemikiran sendiri," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu isu penerimaan gelaran Datuk oleh pimpinan DAP mewujudkan kontroversi di kalangan pimpinan parti itu.
Pimpinan DAP tak sehaluan
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, pimpinan DAP dilihat tidak sehaluan dalam isu tersebut.
"Cuma saya tengok DAP ini pemimpinnya tidak konsisten, ada yang kata tidak ada peraturan, ada yang kata ada peraturan dan ada kelulusan.
"Mana satu nak pakai? Seorang kata boleh terserah pada individu, seorang kata terserah kepada CEC. Itu biar mereka selesailah," ujarnya.
Tambah beliau, pengurniaan pingat dan darjah kebesaran ini adalah hak keistimewaan sultan dan Yang di-Pertua negeri dan sepatutnya tidak dipertikai.
"Kita tidak sepatutnya mempertikaikan, hal kita nak terima atau tidak itu soal nombor dua, tetapi keistimewaan itu kita sepatutnya hormati.
"Sultan menghargai sumbangan individu dan seseorang itu meraikan dan menghormati kurniaan sultan jadi kita terima, itu satu sudut (pandangan)," jelasnya.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata pemimpin parti itu perlu mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat dan tidak mengejar pingat dan darjah kebesaran seperti pemimpin pentadbian BN dahulu.
"DAP tidak mahu dilihat kita menjadi macam BN dulu di mana ada banyak terkejar-kejar nak cari (pingat) Datuk.
"Kami amat menghargai pingat yang diberikan tapi saya rasa yang penting adalah perkhidmatan kepada rakyat dan jangan kita beri apa-apa gambaran yang dahulu nak rebut untuk pingat," kata Lim.
Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke ketika dihubungi Malaysiakini hari ini enggan mengulas lanjut kenyataan Mohd Amar.
Kelmarin, Loke menegur penerimaan pingat tersebut membangkitkan sebab yang sama diutarakan Lim.
Tak lobi dapat Datuk
Loke berkata anggota DAP boleh menerima penganugerahan pingat dan darjah kebesaran selepas bersara daripada perkhidmatan.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Dr Wong Fort Pin, hari ini dipetik laporan BH Online berkata pengurniaan gelaran Datuk diterimanya bersama Pengerusi DAP negeri, Datuk Tey Kok Kiew adalah berdasarkan kapasiti peribadi.
“Kita akan ikut saja arahan parti. Memang satu kebiasaan bagi kita tidak menerimanya (Datuk) walaupun tiada undang-undang hitam putih mengenainya kerana sejak dulu (mendiang) Karpal Singh, Lim Kit Siang (veteran DAP selaku Ahli Parlimen Iskandar Puteri) dan Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) tidak ambil.
“Pengurniaan Datuk oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka itu adalah suatu bentuk penghormatan dan diterima dengan perasaan besar hati. Kita tidak sesekali melobi (gelaran Datuk),” katanya.

