Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Urus tadbir baik jamin keyakinan pelabur dalam RMK11 - Azmin

RMK11 | Kerajaan akan melaksanakan pembaharuan tadbir urus dan institusi bagi memulihkan keyakinan pelabur di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) (2016-2020), kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini, Azmin berkata ini adalah langkah-langkah "utama" yang perlu diambil segera untuk memulihkan keyakinan pelabur.

Beliau menyebut institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara serta Jabatan Ketua Audit Negara sebagai agensi yang sedang menjalani pembaharuan.

"Saya bersyukur kerana PM berjaya bentang satu dokumen penting untuk meletakkan landasan ekonomi kita di atas landasan betul.

"Kita hari ini mengalami cabaran yang besar dan memerlukan pendekatan baru, strategi baru untuk tangani cabaran ini.

"Dan antara tonggak terpenting dalam KSP RMK11 untuk memastikan urus tadbir yang baik kerana dengan urus tadbir ini dapat jamin keyakinan baru di kalangan pelabur asing untuk kembali semula ke Malaysia dan dapat menjana pertumbuhan. Dan dengan pertumbuhan kita dapat agih kekayaan secara adil dan saksama," katanya.

Azmin menafikan RMK11 terlalu "bercita-cita tinggi".

"Kami membincangkan, merujuk semua menteri dan kami membincangkan cadangan ini dalam kabinet dan mendapat persetujuan PM dan juga dari pihak berkuasa yang berkaitan.

"Saya percaya dengan mandat yang jelas dari kabinet, semua menteri akan menyelesaikan tugas masing-masing dalam masa yang ditetapkan."

Lihat Komen
ADS