Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Penahanan Zahid untuk bunuh Umno'
Diterbitkan:  Oct 18, 2018 11:31 PM
Dikemaskini: Oct 19, 2018 12:12 AM

Penahanan dan pendakwaan terhadap Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertujuan untuk membunuh parti Melayu itu, kata bekas Anggota Parlimen Batu Pahat Datuk Dr Puad Zarkashi.

"Apa yang berlaku kepada presiden Umno pada hari ini dan esok melengkapkan agenda zalim regim Mahathir-DAP.

"Matlamatnya tidak lain dan tidak bukan iaitu semata mata untuk memalukan Umno, menekan Umno, memecahbelahkan Umno, menakutkan pemimpin Umno lain, mengelirukan ahli Umno dan meyakinkan rakyat bahawa pemimpin Umno memang korup.

"Puas hati Tun M kerana berjaya menghina pemimpin utama Umno iaitu (Datuk Seri) Najib (Razak) dan Zahid sehingga terpaksa turun naik mahkamah beberapa kali dan tidur di lokap. Bukan itu sahaja famili mereka juga turut didera dan dimalukan," katanya dalam satu kenyataan media.

Terdahulu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Zahid berhubung dakwaan rasuah, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Bekas timbalan perdana menteri itu dijangka akan dihadapkan ke mahkamah esok.

Bagaimanapun Zahid menolak cadangan peguamnya bagi membuat permohonan kebenaran untuk jaminan supaya tidak ditahan di lokap SPRM.

Menurut Puad, sasaran Mahathir kini untuk membunuh Umno kerana parti Melayu itu dilihat 'liat' untuk dimatikan berbanding parti-parti komponen BN yang lain.

"Sebab itu tidak ada pemimpin MCA, MIC dan Gerakan yang disiasat dan didakwa.

"Kenapa? Jawapannya mudah, Tun M tidak berminat. Ketiga tiga parti berkenaan pada beliau sudah mati. Tidak perlu dimatikan lagi. Tetapi Umno nampak liat untuk mati.

"Tun M kecewa kerana selepas PRU ke-14, Umno belum lagi mati-mati," ujarnya.

'Tok Pa berjiwa kecil'

Dalam kenyataannya Puad juga berkata Mahathir cuba menakutkan-nakut pemimpin Umno termasuk Datuk Seri Mustapa Mohamad yang bertindak keluar parti baru-baru ini.

"Beliau berjaya menakutkan Tok Pa yang dianggap sebagai Mr Clean dalam Umno.

"Tok Pa berjiwa kecil. Setelah disoal siasat beberapa jam beliau terus keluar parti. Alhamdulillah, tidak ada siapa yang mengikuti jejaknya hatta pemimpin akar umbi di Jeli.

"Kini, gelaran Mahazalim dan Mahafiraun kembali berkemundang," kata Puad.

Tambahnya lagi, Mahathir 'memekakkan telinga dan membutakan mata' terhadap kes membabitkan bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang digugurkan oleh mahkamah.

"Semua itu perancangan Mahathir. Jika tidak, masakan Mahathir berani melantik Lim Guan Eng sebagai Menteri ketika dia masih dalam perbicaraan Mahkamah.

"Insya Allah, lambat laun giliran Mahathir untuk dimalukan akan sampai juga. Manusia merancang, Allah merancang. Dan Allah sebaik-baik perancang," kata Puad.

Lihat Komen
ADS