Teguran 'haprak syaitan' wajar diambil berat
PEMILIHAN PKR | Kenyataan keras Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan politik wang sebagai kerja 'haprak syaitan' wajar diambil berat, kata calon Majlis Pimpinan Pusat parti itu Datuk Rashid Hasnon.
Rashid berkata semua anggota parti tidak boleh menerima amalan tersebut walaupun selepas PKR dan Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadi kerajaan.
"Kita sedar bahawa perbuatan membeli undi itu adalah kerja parti yang dikalahkan dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu. Tidak ada ertinya seseorang itu menang dalam pemilihan parti tetapi akhirnya membawa kekalahan parti dalam PRU kerana rakyat membenci.
"Rakyat tidak bodoh. Anggota parti juga tidak bodoh. Kita dididik untuk membenci politik wang dalam apa juga keadaan, dan saya percaya pemimpin yang menggunakan wang dan tawaran akan ditolak oleh anggota parti," katanya dalam kenyataan media semalam.
Kelmarin Anwar yang juga bakal presiden PKR mengakui terdapat aduan berhubung kegiatan politik wang sepanjang pemilihan parti berlangsung dan membidas mereka yang berbuat demikian.
Anwar berkata beliau masih boleh bertolak ansur dengan pemimpin yang menjamu makan dan minum untuk penyokong mereka tetapi bukan tindakan 'membeli undi’
Rashid yang menyokong kenyataan tersebut berkata sepertimana pilihan raya, pemilihan parti melibatkan belanja tertentu, tetapi bukan untuk membeli undi.
"Sistem satu undi satu anggota adalah sistem terbaik untuk mengurangkan dan menghapuskan terus politik wang.
"Mereka yang mempunyai duit bertimbun pun akan berfikir dua kali untuk ‘melaburkan’ wang kekayaan mereka kerana anggota yang perlu dibeli adalah terlalu ramai. Semakin ramai anggota PKR, semakin mahal dan sukar untuk dibeli," katanya.
Rashid berkata sebarang bentuk kecurangan wajar dilaporkan langsung kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan jawatankuasa disiplin wajib bertindak segera untuk menanganinya.
"Keduanya-duanya harus dilihat bebas dan adil," katanya.

