Kompleks mahkamah KL jadi tumpuan pengamal media
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini menjadi tumpuan pengamal media tempatan dan antarabangsa bagi mengikuti perkembangan kes bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Seawal pukul 6.30 pagi, pemberita dan jurugambar serta jurukamera daripada pelbagai agensi media mula berkumpul di luar kompleks mahkamah berkenaan.
Tinjauan Bernama mendapati kompleks perkarangan lokasi itu dikawal ketat oleh polis dan media tidak dibenarkan masuk.
Semalam, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya pada 3.15 petang berhubung siasatan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan Ahmad Zahid akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
- Bernama

