Mahkamah benar Zahid diikat jamin RM2 juta
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dibebaskan dengan jaminan RM2 juta setelah beliau mengaku tidak bersalah di atas 45 pertuduhan pecah amanah, menerima wang rasuah dan pengubahan wang haram.
Hakim Azura Alwi juga membenarkan jaminan tersebut dibayar secara ansuran iaitu RM1 juta dibayar hari ini manakala bakinya sebelum atau pada 26 Okt dan menetapkan 14 Disember untuk sebutan semula kes.
Beliau turut memerintahkan bekas timbalan perdana menteri itu menyerahkan pasport sebagai syarat jaminan sehingga kes itu selesai.
Zahid hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 45 pertuduhan pecah amanah, menerima rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM114,148,983.86.
Anggota Parlimen Bagan Datuk itu yang berusia 65 tahun, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan satu persatu kepadanya.
Mahkamah kemudian membenarkan anggota Parlimen Bagan Datuk itu dibebaskan dengan ikat jamin
Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan mengetuai barisan pendakwaan yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustafa P Kunyalam, T Deepa Nair dan Nadia Mohd Izhar.
Zahid, diwakili 12 peguam diketuai Hisyam Teh Poh Teik dan dibantu antaranya Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Kitson Foong.

