Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS) yang sedang dibelenggu kerugian besar, mengaku membeli dua lukisan berharga RM1.5 juta daripada seorang artis Columbia, kata seorang anggota kelab Senator, Dr Puad Zakarshi.

Mas juga katanya, mengakui membayar yuran khidmat perunding sebanyak RM1.3 juta kepada seorang perundingcara.

Dr Puad berkata, beliau diberitahu mengenai perkara itu oleh pengurusan tertinggi MAS dalam pertemuan antara wakil kelab Senator dengan pengurusan kanan MAS di ibunegara semalam.

Beliau juga memberitahu, pihak pengurusan MAS bersedia untuk menjual lukisan itu walaupun ia dianggap sebagai aset syarikat.

Menurut laporan Bernama , pertemuan antara wakil kelab Senator itu dengan pengurusan kanan MAS, termasuk Pengarah Urusan barunya, Idris Jala, berlangsung selama tiga jam.

Pengakuan penguruan MAS mengesahkan pendedahan yang dibuat di dalam sepucuk surat yang diedarkan melalui e-mel baru-baru ini yang antara lain mendakwa MAS membeli lukisan dari seorang pelukis Colombia pada harga RM1.557 juta.

E-mel itu juga mendakwa MAS membayar gaji seorang perunding warga British sebanyak RM1.3 juta setahun sebagai perunding teknologi maklumatnya.

Dakwaan-dakwaan lain yang dipaparkan dalam e-mel itu termasuklah sikap pengurusan kanan MAS berbelanja mewah dan boros dalam membeli kenderaan baru, melakukan pengubahsuaian pejabat dan pemberian pelbagai keistimewaan kepada para pegawai tertingginya seperti tiket penerbangan percuma dan pinjaman mudah untuk membeli kereta.

Kerugian besar

Dr Puad berkata, dalam majlis taklimat itu pihak pengurusan MAS juga mendedahkan hanya 33 daripada 79 laluan MAS ke Eropah dan Amerika Latin, yang meraih keuntungan.

"Kami juga diberitahu bahawa MAS memerlukan RM3 bilion bagi penyusunan semula operasinya serta untuk meraih kembali keuntungan," katanya lagi.

Bagaimanapun, katanya, pengurusan MAS enggan mengulas apabila ditanya tentang kemungkinan adanya perbuatan pecah amanah dalam kerugian besar yang dialami syarikat pengangkutan itu.

Malaysia Airlines mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM367.7 juta bagi suku keduanya yang berakhir pada 30 September 2005.

Kerugian itu dikaitkan terutamanya dengan peningkatan kos bahan api sebanyak 45 peratus kepada RM1.2 bilion berbanding RM799 juta yang dicatatkan pada suku yang sama 2004.

Dengan kerugian RM280.7 juta yang dilaporkan pada suku pertama, kerugian bersih bagi tempoh enam bulan pertama tempoh kewangan berjumlah RM648.4 juta.

Dr Fuad berkata, aset MAS hanya bernilai RM1.5 bilion sahaja dan ianya tidak mencukupi untuk membawa keuntungan kepada MAS.

MAS juga katanya, mengesahkan telah melantik bekas eksekutif kanan British Airways, Peter Read menyertai pengurusan kanan memandangkan pengalaman luasnya dalam industri ini.

"CEO baru, Idris Jala juga bercakap tentang rancangan yang akan membuat MAS kembali untung. Beliau memerlukan dua tahun untuk membuat penyusunan semula," katanya.

Pelan pemulihan MAS

Sementara itu, bercakap kepada pemberita kemudiannya Idris Jala berkata, antara perkara yang diperjelaskan MAS kepada Kelab Senator termasuklah perancangan pemulihan perniagaan syarikat penerbangan, iaitu penjimatan tunai, pemulihan keuntungan dan pengurusan tenaga kerja.

"Kami berusaha memuktamadkan pelan itu secara terperinci. Pada lewat Februari 2006, kami akan mengumumkan keputusan tahun penuh kami serta butir-butir terperinci rancangan pemulihan," katanya.

Mengenai kemungkinan menawarkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS), beliau berkata, MAS belum sampai ke tahap itu lagi.

"Ketika ini, kami sedang mengkaji laluan kami yang tidak menguntungkan. Kami mencari jalan dan cara untuk menjadikan ia suatu yang menguntungkan," katanya semasa ditanya mengapa hanya 33 daripada 79 laluannya ke Eropah dan Amerika Latin yang meraih keuntungan.

Apabila ditanya sama ada MAS akan menimbang lebih banyak perkongsian kod, beliau berkata ia merupakan satu daripada perkara yang sedang ditimbangkan dengan serius oleh syarikat penerbangan nasional itu.